Posts

Showing posts from May, 2008

YB Halim

Fazli telah menggelarkan saya sebagai YB Halim dalam blognya dengan entrinya 'macam membaca sebuah buku'. Mula-mula membaca entri tersebut saya merasa terkejut juga. Namun sebenarnya YB tu bukanlah Yang Berhormat tetapi Yang Berblog. Sebenarnya ramai YB yang berada di UiTM Segamat. Yang paling popular ialah blog Prof Kamil. Lain-lain YB termasuklah termasuklah Ustaz Nawawi, Ustaz Dr Ahmad, PM Ustaz Halim, Syahrul Ahmar, Pn Noraini dan lain-lain. Manakala YB yang sedang melanjutkan pelajaran pula terdiri dari Khairul Anuar, Halim Shuhaimi dan Balkish.

Hari Konvokesyen

Hari ini saya dan Puan Norfizah ke Shah Alam untuk satu mesyuarat penting di fakulti. Dari luar UiTM kelihatan penuh sesak dengan kenderaan pelajar dan ibubapa yang menghadiri majlis konvokesyen. Sampai di Menara saya melihat bekas-bekas pelajar saya ada yang sedang mengucapkan tahniah antara satu sama lain, manakala yang lain sedang mengambil gambar kenangan bersama keluarga dan rakan-rakan. Ada juga beberapa bekas pelajar yang menyapa dan bertanya khabar. Saya mengucapkan tahniah kepada mereka. Semoga mereka terus berjaya mengharungi kehidupan masa depan yang mencabar dengan bekalan ilmu yang mereka perolehi di UiTM.

Solat dhuha

Salah satu dari sabda Rasullullah SAW tentang solat dhuha yang bermaksud: "Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan." Doa’ sembahyang Dhuha ialah: "Ya Allah, bahawasanya waktu Dhuha itu waktu DhuhaMu, kecantikan itu ialah kecantikanMu, keindahan itu keindahanMu, kekuatan itu kekuatanMu, kekuasaan itu kekuasaanMu dan perlindungan itu perlindungan Mu. Ya Allah jika rezekiku masih diatas langit, turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika ia (dari yang) haram maka sucikanlah, jika masih jauh dekatkanlah, berkat waktu Dhuha, Keagungan, Keindahan, Kekuatan dan Kekuasaan Mu, limpahkanlah kepada kami sebagaimana Engkau limpahkan kepada hamba-hamba Mu yang saleh ."

Haji Mohd Halim

Haji Mohd Halim bin Kadri - itulah penama yang tertera dalam surat yang saya terima pagi ini. Sebenarnya ini bukan pertama kali saya dipanggil begitu. Sehingga kini nama saya telah tertera begitu dalam beberapa helai surat rasmi, sebuah minit mesyuarat rasmi dan sebuah sijil rasmi. Keadaan ini menjadikan saya sedikit risau [cuak] kerana saya belum lagi menunaikan fardhu haji dan baru bercadang nak pergi pada tahun depan. Saya pernah meminta nama saya dalam minit mesyuarat yang tertera sebagai Haji Mohd Halim Kadri dibetulkan. Namun bos saya mengatakan, "mungkin dah nak sampai seru kot". Ada sekali saya ditanya oleh pemandu UiTM yang membawa saya ke Shah Alam selepas selesai musim haji. "Hari itu berapa ramai ya yang pergi haji sekali dengan Encik Halim?" Saya kata, "saya tak pergi". "Oh ingatkan pergi hari tu," balasnya. Mungkin betul juga kata bos saya. Agaknya seruan untuk saya menunaikan haji semakin dekat. Saya memohon yang terbaik dari Allah

Sehari selembar benang

Sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain - itulah kata-kata hikmat orang dulu-dulu. Orang dulu-dulu kebanyakannya bekerja sendiri. Pagi menoreh getah dan petang tanam nenas di kebun belakang rumah. Kadangkala selepas asar sempat lagi buat kerja sambilan. Semuanya dilakukan untuk mencari rezeki untuk membeli beras dan menghantar anak ke sekolah. Sehari selembar benang lama-lama menjadi kain ini dikaitkan dengan kerja sambilan. Ada yang membuat kerja sambilan menenun kain, selembar demi selembar benang ditenun mungkin mengambil masa hingga sebulan untuk menjadi kain. Itu cerita dulu-dulu. Dalam realiti kehidupan sebagai pensyarah, kerja hakikinya [yang merangkumi 70%] ialah pengajaran dan pembelajaran. Selain dari itu ada kerja-kerja lain yang perlu dibuat [termasuk penulisan]. Kalaulah kerja penulisan ini boleh dianggap sebagai sambilan, maka kita boleh gunakan kata-kata hikmat orang dulu-dulu iaitu sehari selembar benang kita tukarkan kepada sehari selembar [sehelai/semuka surat]

Penemuan pelik

Beberapa tahun yang lepas, saya telah membuat kajian tentang bagaimana pencapaian pelajar sekiranya mereka diajar oleh pensyarah yang bersamaan gender dan berbeza gender. Hasil dari ujian-t [t-test] mendapati [1] pelajar perempuan yang diajar oleh pensyarah lelaki lebih cemerlang pencapaiannya daripada pelajar perempuan yang diajar oleh pensyarah perempuan; [2] pelajar lelaki yang diajar oleh pensyarah lelaki pencapaiannya lebih kurang sama dengan pelajar lelaki yang diajar oleh pensyarah perempuan. Apakah rumusannya? [1] Pelajar perempuan menjadikan pensyarah sebagai salah satu faktor penting untuk berjaya. [2] Pelajar lelaki tidak menjadikan pensyarah sebagai satu faktor penting untuk berjaya.

Berkenalan

"Abang ada ramai kawan kat sekolah, ada darjah satu, darjah tiga, darjah empat dan darjah lima pun ada," kata abang memulakan cerita. "Kakak pun berkawan dengan semua orang juga," kakak menyampuk. "Ayah tahu tak, kita boleh memulakan perbualan dengan bertanya jam pukul berapa?" kakak meneruskan soalannya. "Kat mana kakak dapat petua tu?" tanya saya. "Dalam sebuah buku yang kakak baca," sambungnya. Sebenarnya bukan senang untuk berkenalan apatah lagi untuk memulakan perbualan. Tapi bila dah kenal dan mula berbual kadangkala susah pula untuk berhenti. Dikisahkan, ada seorang pendakwah sedang menaiki bas menuju ke suatu tempat yang jauh. Di sebelahnya terdapat seorang yang pemuda yang sentiasa memalingkan muka ke tingkap sepanjang perjalanan. Pendakwah tersebut ingin berkenalan dengan pemuda tersebut dan seterusnya menyampaikan dakwahnya. Setelah berfikir sejenak, pendakwah tersebut telah memijak kaki pemuda di sebelahnya dan meminta maaf

Perasaan seorang pensyarah

Ada pensyarah yang dianggap oleh pelajarnya sebagai 'baik' manakala yang lain dianggap sebaliknya. Tapi adakah pelajar benar-benar mengetahui perasaan pensyarahnya? Saya ingin menceritakan pengalaman peribadi saya memeriksa kertas jawapan peperiksaan akhir pelajar-pelajar saya. Pertama sekali saya akan memeriksa semua helaian dan mengharap semua pelajar saya akan lulus. Selesai memeriksa, saya akan menjumlahkan markah yang mereka perolehi. Sekiranya terdapat pelajar yang markahnya kurang dari 50, saya akan menyemak beberapa kali sehingga pasti bahawa tidak ada markah yang tidak diberi. Namun kadangkala ada juga pelajar yang tidak lulus menyangka bahawa pensyarahnya tidak memeriksa atau tidak memasukkan markah peperiksaan akhir mereka. Hakikatnya mereka sendiri sebenarnya tahu bahawa mereka tidak menjawab dengan baik. Jadi, siapakah yang memahami perasaan pensyarah?

Hari pekerja

Semalam, 1 Mei 2008 saya telah membawa isteri dan anak-anak mandi di Hutan lipur Gunung Ledang [20 minit perjalanan]. Menakjubkan. Pengunjung terlalu ramai, 'parking' penuh, tempat mandi pun penuh. Anak-anak pula tak sabar untuk mandi. Akhirnya kami dapat satu lokasi yang sesuai untuk mandi. Kakak [long] dan abang [ngah] tidak begitu berpuashati dengan lokasi tersebut pada mulanya. Namun bila dah mandi keadaan 'ok' semula. Adik yang baru pertama kali mandi di kolam air terjun sangat teruja dengan kesejukan airnya. Tak sangka adik yang belum genap dua tahun tak takut air macam abang dan kakaknya. Lebih kurang sejam di sana, kami beredar ke Tangkak untuk makan tengahari. Asam pedas ikan pari menjadi hidangan pilihan kami.