Monday, March 29, 2010

Mengajar anak-anak solat berjemaah dan mengaji


Entri kali ini tidak bermaksud untuk mengajar pembaca bagaimana caranya mendidik anak-anak. Ianya lebih kepada rasa untuk mengingatkan kepada diri sendiri tentang pentingnya mendidik anak-anak perkara yang paling asas bagi mereka. Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu. Ibubapa (terutamanya bapa) tidak mempunyai ruang untuk mengelak dari tanggungjawab ini. Satu tanggungjawab yang diperintahkan oleh Allah sendiri. Sekiranya tidak mampu melakukannya, ibubapa wajib mencarikan orang yang boleh mengajar anak-anak mengenal Allah.
Perkara paling asas yang perlu ibubapa ajarkan kepada anak-anak ialah mengenal Allah. Anak-anak sekarang dalam usia yang begitu muda pun terlalu cerdik untuk bertanya kepada ibu dan ayahnya. Ayah! rupa Allah tu macam mana? Ibu! kenapa kita tak nampak Allah? Soalan-soalan yang dibiarkan tidak berjawab menyebabkan anak-anak mencari jawapan sendiri - kartun dalam tv dan komik selalu menceritakan kisah kehebatan dewa-dewa. Sedar tak sedar, anak-anak mendapat jawapan yang salah tentang Tuhannya.
Perkara kedua yang paling asas ialah mengajar anak-anak untuk solat. "Suruhlah anak-anakmu mendirikan solat ketika berumur 7 tahun dan pukullah dia sekiranya tidak mendirikan solat ketika berumur 10 tahun", maksud sebuah hadis. Anak-anak lebih memerhati ibubapanya daripada mendengar cakap ibubapanya. Sebab itu ibubapa kena praktikkan apa yang disuruh kepada anak-anaknya. Untuk mengajak anak-anak bersolat, bentanglah sejadah dan jadilah imam kepada anak-anak. Anak-anak tidak kisahpun kalau suara ayahnya tak sedap. Ibubapa yang 'cakap serupa bikin' lama-lama akan dihormati oleh anak-anak.
Perkara ketiga paling asas untuk diajarkan kepada anak-anak ialah membaca al-Qur'an. Al-Qur'an ialah mukjizat. Ia adalah sumber utama kepada ilmu. Membacanya sahaja sudah memperolehi ganjaran pahala apatahlagi kalau isikandungannya dihayati dan diamalkan dalam kehidupan. Ibubapa mungkin sibuk dan tidak sempat untuk mengajar anak-anak mengaji. Namun kita kena luangkan masa kita untuk membaca al-Qur'an bersama anak-anak sekurang-kurangnya seminggu sekali. Tentunya kita mahu tahu tentang perkembangan bacaan dan penghayatan anak-anak kita terhadap al-Qur'an.

Friday, March 26, 2010

Kuliah Pagi Jumaat

Pagi ini saya berkesempatan untuk mendengar kuliah pagi Jumaat.

Ada beberapa perkara penting yang saya sempat catat semasa kuliah tersebut berlangsung. Pertama, kita kena tahu asal-usul kita. Ayat yang berkaitan dengan asal-usul kejadian manusia boleh di baca dalam surah al-insan 1-4.

Kedua, kita kena tahu tujuan kita dijadikan oleh Allah SWT. Tujuan hidup manusia dijelaskan oleh Allah dalam surah az-zariyat: 56 yang bermaksud, tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu.

Ketiga, kita kena tahu kenapa di akhir zaman ini banyak sangat masalah yang melanda terutama kepada umat Islam. Ianya berpunca dari satu penyakit yang hanya melanda umat akhir zaman. Nabi menjelaskan keadaan pada akhir zaman, manusia akan ditimpa satu penyakit yang tidak pernah menimpa umat sebelumnya iaitu penyakit 'wahan'. Apakah itu penyakit 'wahan' itu? Penyakit wahan itu ialah cintakan dunia dan takut menghadapi kesusahan. Dan yang sedihnya perkara ini melanda sebahagian besar umat termasuklah ulama'.

Keempat, bagaimana caranya untuk menghadapi semua ini. Kita kena kembali memahami apa yang diajarkan oleh Nabi kepada kita. Kita kena tahu mana perkara yang Islam dan mana perkara yang tidak Islam. Untuk itu kita kena menuntut ilmu. Di samping itu, kita kena sentiasa merawat hati kita dengan bacaan al-qur'an, menghayati maknanya dan melaksana dalam kehidupan. Kalau mampu solat malam dan bermunajat kepadanya. Carilah teman-teman yang soleh yang boleh menimbulkan suasana dan persekitaran yang soleh.

Ulama' dulu hanya ingin dua perkara apabila bertemu dengan Allah. Pertama, Allah ampunkan dosa-dosanya. Kedua, dimuliakan oleh Allah di akhirat.

Wednesday, March 24, 2010

Israel serang semula Gaza

Untuk renungan kita bersama. Kekejaman rejim Israel tiada penghujung sejak 1948. Berita ini dipetik dari web Haluan Palestin.
March 24, 2010
Beberapa buah kereta tank dan buldozer Israel telah menyerang wilayah di utara Jalur Gaza pada pagi Rabu (24/3) dan melepaskan tembakan terhadap perumahan warga Gaza.

Saksi melaporkan bahawa kereta kebal Israel melepaskan tembakan ke rumah mereka manakala buldozer menghancurkan tanaman pertanian dan pokok yang terletak berhampiran dengan persempadanan Iriz dan utara Semenanjung Gaza.

Pada Selasa malam yang lepas seorang tentera Israel telah terbunuh akibat tembakan rakan sendiri sementara seorang warga awam Palestin cedera dalam pertembungan sengit dengan pejuang Palestin di sempadan selatan Semenanjung Gaza.
Marilah kita sama-sama menyumbang untuk mereka dalam bentuk kewangan dan do'a.

Tuesday, March 9, 2010

Anak murid

Saya seronok bila mendapat tahu bekas anak murid dapat kerja atau sambung belajar. Pagi ni satu no tertera di skrin hp saya. Lalu terjadilah dialog di bawah:

  • En, saya Hamidah.
  • Hamidah Mohd Amin ke?
  • Ya. Saya nak minta pendapat En ni. Saya dah dapat kerja sebagai Penolong Pegawai Kewangan di SUK. Pada masa yang sama dapat temuduga sebagai juruaudit dalam di CIMB. Mana satu yang saya nak pilih ye En?
  • Awak rasa mana satu yang sesuai?
  • Saya rasa nak kerja di SUK la En................
  • Saya pun berpendapat macam tu juga.
Lalu saya teringat tentang sukarnya saya nak dapat kerja selepas tamat DIA pada Mei 1991. Bukan saya tidak layak untuk bekerja ataupun tidak ada kerja di pasaran. Tapi sebabnya ialah saya sukar dihubungi. Di rumah, kami tak ada telefon, wayar telefon pun belum ada di kampung saya. Bila saya sertakan no telefon kakak saya di Kelang semasa memohon kerja, tak sampai seminggu terus dipanggil temuduga dan seminggu kemudian diterima bekerja di Maybank.

Kini, kemudahan perhubungan cukup canggih. Hampir semua orang mempunyai no telefon untuk dihubungi. Kadangkala sampai ada dua atau tiga nombor. Sebahagian besar pula ada broadband. Di zaman yang begini janganlah sampai kita tidak dapat dihubungi oleh orang yang mahu menawarkan pekerjaan...

Kepada yang belum dapat kerja, selamat mencari. Semoga Allah mempermudahkan urusan kalian.

Wednesday, March 3, 2010

Lima sebelum lima

Pada petang Sabtu lepas, saya menemani seorang rakan menziarahi bekas jirannya, seorang pesara guru, yang sedang sakit tenat. Dia masih mengingati rakan saya. Saya membiarkan rakan saya berbual-bual dan bercakap-cakap dengannya sementara saya hanya mendengar percakapan mereka.


Semasa dalam perjalanan pulang, beliau mengingatkan saya tentang hadis ingatlah lima sebelum datang lima. Saya katakan padanya: Untuk kita memang masih ada lima sebelum lima, kita masih sihat, muda, kaya, lapang dan hidup. Tapi bagi cikgu yang kita ziarah tadi dia hanya tinggal satu sebelum satu. Dia telah sakit, telah tua, sudah tidak kaya dan sudah sukar untuk bergerak kemana. Dia hanya tinggal satu peluang saja iaitu hidup sebelum mati. Rakan saya mengiakan pendapat saya.

Semalam, rakan saya menalipon: Lim, cikgu yang kita ziarah Sabtu lepas telah meninggal dunia sekejap tadi. Innalillah.....: jawab saya. Kini hilanglah segala peluang lima sebelum lima yang ada padanya. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Semoga dia ditempatkan bersama-sama dengan orang-orang soleh.


Wahai sahabat! marilah kita hayati hadis lima sebelum lima ini supaya kita tidak menyesal apabila berhadapan dengan Allah nanti.