Halaqah Jasmani

Diri kita terbina dari tiga pecahan utama yang kadangkala dipanggil fakulti insan iaitu roh, akal dan jasmani atau jasad. Roh perlu dihidupkan dengan pengisian ibadah khusus dan umum. Akal pula perlu dibajai dengan ilmu, pengetahuan dan hikmah. Manakala jasmani atau jasad pula perlu dijaga dengan memakan makanan yang halal dan berkhasiat dan diberi hak untuk 'exercise' atau beriadah.



Sabda Nabi yang bermaksud: muslim yang kuat itu lebih dikasihi oleh Allah dari muslim yang lemah. Hadis ini tidak bermaksud mengenepikan orang yang lemah mahupun orang yang sakit. Sebaliknya ia memotivasikan muslim untuk berusaha menjadi kuat roh, akal dan jasadnya.



Saya mengubahsuai halaqah kami hari ini kepada halaqah jasmani. kami sekeluarga berjogging di sepanjang Sungai Kapeh Segamat untuk mengeluarkan peluh dan membakar lemak dan kolestrol yang ada. Kami memulakan dengan 'warm up' dari kepala ke kaki, kemudian berlari dan berjalan berselang-seli. Bila penat kami berjalan laju, bila OK balik kami berlari. Ayah! hari ini kita joging lebih jauh dari minggu lepas ya?: Pinta Abang. Alaa.. Kakak dah penat laa..: rengek Kakak pula. OK! Kita ambil jalan tengah, kita pergi jauh sikit tapi kelajuan ikut kemampuan. Mereka bersetuju.


Bila sampai semula ke tempat permulaan, kami lari setempat sementara menunggu masa jantung dan nadi normal semula. Kemudian, kami pun buat 'warm down' (betul ke istilah ni) dari kaki ke kepala. Selesai dari tarik nafas yang ketiga saya berpesan kepada anak-anak: Setiap bahagian dari badan kita perlu diberikan haknya: roh, akal dan jasad. Pada hari ini kita memberi hak kepada jasad kita dengan harapan Allah akan bagi kesihatan dan kekuatan kepada kita untuk melaksanakan ibadah kepadaNya dan tanggunggungjawab yang lain-lain.


Semoga Allah memberikan kekuatan kepada kita.

Comments

Popular posts from this blog

Wau bulan

Empat tahiyat?

Burung Tiong