Masam manis perjalanan PhD (28) - Watak protagonis dan antagonis

Di dalam sebuah kisah pasti ada watak protagonis dan antagonis. Menurut Wikipedia protagonis ialah tokoh utama atau peranan utama dalam sesebuah kisah. Manakala antagonis pula merupakan orang atau institusi atau suasana yang akan sentiasa menghalang matlamat atau menentang hujah-hujah protagonis. Antagonis tidak semestinya jahat.

Baiklah. Di dalam pengajian saya, sayalah watak utama atau protagonis. Sayalah yang memulakan perjalanan ini, saya juga yang mahu menamatkan perjalanan ini dengan jayanya. Matlamat saya ialah untuk menamatkan pengajian on-time. Seorang pelajar PhD perlu mempunyai kesabaran, positif dan dayatahan yang tinggi untuk mempertahankan diri dari halangan-halangan yang wujud disebabkan oleh kehadiran watak-watak antagonis. Jadi, kalau watak-watak antagonis ini wujud, positifkan diri, sabar, teruskan kerja dan lihatlah hikmah yang Allah akan tunjukkan di sebalik kewujudan watak-watak antagonis ini.

Sejak dari awal proses pengajian saya, saya terganggu dengan beberapa watak yang mempunyai ciri-ciri antagonis. Pemilik watak-watak ini tidak semestinya jahat. Ya, mereka tidak semestinya jahat. Walaupun watak-watak ini agak mengganggu, akhirnya kehadiran watak-watak ini disusuli dengan hikmah-hikmah yang pada permulaannya tidak disedari.

Saya akan ceritakan dua dari watak antagonis yang saya lalui.

Kisah 1

Semasa saya mula bertekad untuk memohon biasiswa iaitu pada tahun 2007 saya mula melazimkan diri dengan membuat penyelidikan, membentang atau sekurang-kurangnya menghadiri konferensi. Ada sekali saya berpeluang untuk membentangkan proposal saya di dalam Doctoral Colloquium di Kuala Lumpur. Bila tiba masanya, saya pun dipanggil untuk membentang. Seorang Profesor kanan dari sebuah universiti tersohor menjadi panel saya. Selepas melihat pembentangan saya, beliau menyatakan: saya fikir tajuk proposal awak tidak sesuai untuk diteruskan sebaliknya saya cadangkan awak menukar tajuk kepada 'permasalahan yang dihadapi selepas perlaksanaan ....'. Beberapa hari juga saya memikirkan cadangan beliau. Namun hati saya masih bertekad untuk mengekalkan tajuk tersebut untuk dibentang di peringkat fakulti nanti. Ya, saya berjaya membentangkan di peringkat fakulti, namun akhirnya saya sendiri yang merombak lebih dari 50% proposal tersebut semasa tamat pengajian. Apa hikmahnya? Kita kena dengar dan ambilkira nasihat dan pandangan orang yang lebih berilmu dan lebih berpengalaman. Mereka umpama orang tua yang lebih dahulu makan garam. 

Kisah 2

Semasa kali pertama saya membentangkan proposal untuk mendapat biasiswa, saya perasan ada seorang panel yang agak minat untuk bertanya itu dan ini tentang tajuk saya termasuklah rujukan-rujukan yang saya ambil serta serba-serbi berkaitan tajuk saya. Pertanyaannya lain bentuknya berbanding dengan panel-panel lain. Biasaya panel bertanya kenapa begitu dan tidak begini atau kenapa begini dan tidak begitu. Saya mula rasa curiga tentang tujuan beliau bertanya itu dan ini dengan agak detail. Saya takut sekiranya beliau akan membuat satu makalah jurnal dengan tajuk berkaitan untuk diterbitkan. Telahan saya agak tepat, tak lama selepas itu beliau telah menerbitkan satu makalah jurnal dengan tajuk yang berkaitan. Allahu akbar. Apakah hikmahnya? Hikmahnya ialah Allah mahu menggerakkan kita untuk menerbitkan satu atau dua makalah dari hasil kajian kita ataupun ke depan lagi dengan menyertai pertandingan IID dari hasil kajian kita. Hasil-hasil ini boleh digunakan sekiranya ada sesiapa yang mempertikaikan ketulenan penyelidikan kita di masa depan.


Akhirnya, apa-apa cabaran dan dugaan yang kita lalui, tentu ada hikmah di sebaliknya. Jangan menyerah kalah dengan cabaran dan dugaan. Hanya Allah yang lebih mengetahui.

Comments

Popular posts from this blog

Wau bulan

Empat tahiyat?

PhD - Apa selepas PhD?