Friday, August 13, 2010

Peniaga dan Perdaya

Peniaga yang amanah sebaris dengan Nabi dan para syuhada', begitulah maksud sebuah hadis Nabi SAW. Begitulah tingginya kedudukan mereka di sisi Allah sekiranya mereka berniaga dengan amanah. Kita dapati ramai peniaga yang tidak menghayati konsep beramanah dalam berniaga. Saya kemukakan beberapa contoh.

Hari ini sebuah sms masuk: Tahniah, sim card anda berjaya memenangi cabutan bertuah RM15,000.00 dari syarikat minyak ..., sila hubungi office....

Minggu lepas satu panggilan dari sebuah syarikat telekomunikasi masuk: Encik terpilih untuk ditawarkan talian internet yang lebih laju dari yang sekarang pada kadar ...., semua panggilan yang encik buat pada talian yang sama tidak akan dikenakan apa-apa bil walau berapa lama encik bercakap, semuanya masuk dalam kadar internet yang ditawarkan...

Bulan lepas juga ada satu panggilan: Encik pengguna talian sekian-sekian kan, encik ditawarkan skim insuran percuma bernilai sekian-sekian. Kami cadangkan encik ambil skim kedua yang lebih besar nilainya, tapi dikenakan sedikit bayaran bulanan sebanyak sekian-sekian...

Banyak lagi panggilan dan mesej yang seperti di atas. Saya rasa bukan saya seorang saja yang menerima panggilan dan sms seperti ini.

Saya tidak membeli minyak di syarikat minyak yang disebutkan dalam sms, bagaimana sim card saya boleh masuk dan memenangi cabutan bertuah. Mungkin ini satu helah untuk saya menghubungi dan menawarkan skim atau produk tertentu... saya fikir.

Berkaitan talian internet, dulu saya pernah terpedaya dengan bil tetap bulanan sebuah syarikat telekomunikasi, katanya setiap panggilan ke talian yang sama termasuk dalam kadar yang ditawarkan. Hakikatnya, kadar yang ditawarkan dikira sebagai sewa bulanan manakala setiap panggilan dikenakan caj.

Hmm, peniaga dijanjikan dengan 9/10 dari rezeki. Kalaulah peniaga-peniaga yang terlibat menghayati konsep amanah dalam perniagaan, mungkin perkara-perkara seumpama ini tidak atau jarang berlaku. Carilah rezeki yang berkat.

Thursday, August 5, 2010

Universiti Terbuka Ramadhan

Universiti Terbuka Ramadhan untuk kesekian kalinya membuat pengambilan terbuka. Syarat kemasukannya tidak ketat sebagaimana universiti-universiti lain. Tidak perlu 5A dan ke atas dalam SPM atau lulusan diploma dengan cgpa 2.75 ke atas dari universiti-universiti yang diiktiraf. Syarat kemasukannya hanyalah Muslim, baligh dan berakal.


Tempoh pengajiannya tidak lama. Hanya sebulan. Silibusnya pula telah disusun oleh Allah SWT sendiri. Subjek terasnya ialah Puasa, subjek yang digalakkan diambil ialah Terawih dan Tadarus, manakala subjek pilihan adalah Qiamullail, sedekah dan lain-lain.


Pada penghujung pengajian, segulung ijazah Taqwa akan diberikan kepada pelajar-pelajar yang berjaya menamatkan pengajian dengan jayanya.


Kepada semua yang layak, marilah kita sama-sama memasuki universiti Ramadhan dengan penuh rasa keimanan dan mengharapkan balasan dari Allah SWT. Maksud hadis: barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan balasan dari Allah, akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.