Posts

Showing posts from 2008

Palestin terus digempur

Image
Semenjak 1948 masehi, Palestin dan rakyatnya terus digempur bertalu-talu oleh rejim kejam yang tidak kenal erti perikemanusiaan. Wanita dan kanak-kanak turut menjadi korban rejim. Terbaru, menjelang tahun baru hijrah 1430, rejim yang sama telah menggempur lagi atas alasan yang sama iaitu mempertahankan diri dari ancaman pengganas. Masyarakat dunia diajak mempercayai bahawa rakyat Palestin yang tiada makanan dan senjata adalah pengganas. Ada juga yang mempercayainya. Negara-negara saudara mara di sekeliling yang kaya-raya hanya melihat dengan sebelah mata. Bagaimanakah nasib saudara kita di Palestin? Marilah kita sama-sama membantu mereka dengan semampu kita, dengan nyawa? harta? atau sekurang-kurangnya do'a? Marilah kita sama-sama berdo'a dalam solat kita atau dalam solat hajat kita supaya Allah membebaskan Palestin dan rakyatnya dari cengkaman rejim ganas Israel. Amin. Nota: Saya begitu terkejut apabila blog ini tiba-tiba dikunjungi secara bertalu-talu dari seluruh pelusuk dun

Selamat menyambut tahun baru 1430

Image
Sempena menjelangnya tahun baru 1430 petang ini, saya dan keluarga ingin mengucapkan selamat menyambut tahun baru kepada muslimin-muslimat khususnya pengunjung-pengunjung blog ini. Semoga tahun baru ini kita iringi dengan keazaman untuk menjadi insan yang lebih baik.

Berbasikal keliling Taman

Image
Saya teringat komen Abang Zali di dalam entri saya yang lepas bertajuk wau bulan di sini . Dan saya agak bersetuju dengan pandangan beliau. Katanya:... ANTARA WAU DAN BASIKAL MANA YANG LEBIH RELEVAN. BERMAIN WAU MEMERLUKAN TEMPAT YANG LUAS TANPA DI PENUHI OLEH POKOK-POKOK ATAU BANGUNAN-BANGUNAN YANG RAPAT RAPAT.MANAKALA BERMAIN BASIKAL TIDAK PERLU ADA TEMPAT KHAS. DIMANA SAJA BOLEH KAYUH...... Setelah dipujuk banyak kali dari mula cuti hari tu, akhirnya saya akur dengan pujukan anak-anak untuk menemankan mereka berbasikal pagi dan petang bila saya ada di Segamat. Kesian juga dengan mereka, cuti panjang tapi tak berapa ada sangat aktiviti. Saya harap ini boleh menggembirakan hati mereka.

Akikah atau korban

Image
Adik Yam mari sini, ayah nak tunjuk gambar lembu adik Yam dekat Kampuchea: kata saya kepada anak perempuan saya yang berumur dua tahun setengah. Inilah gambar lembu adik yang ayah buat akikah dekat sana. Adik Yam datang melihat gambar tersebut tetapi tidak memahami maksud saya. Dia masih belum memahami tentang akikah. Ibubapa adalah disunatkan membuat ibadah akikah untuk setiap anaknya sekiranya berkemampuan - sebaik-baiknya dalam masa tujuh hari selepas kelahiran. Namun sekiranya kemampuan datang selepas itu maka tidak salah untuk membuat ibadah akikah sebelum anak-anak baligh. Akikah boleh dilakukan sepanjang tahun. Berbeza dengan ibadah korban yang hanya boleh dilakukan pada 10 Zulhijjah dan hari-hari tasyrik sahaja. Kini ibadah akikah dan korban lebih mudah dilakukan. Selain daripada dibuat di sini, ia boleh juga dilakukan di Kampuchea. Khabarnya penduduk di sana hanya makan nasi lauk daging setahun sekali. Mungkin mereka lebih memerlukan daging akikah dan korban dari kita di sini.

Kat sini pun ada

Image
Pagi ini sebelum ke pejabat, saya mengajak isteri dan anak-anak saya untuk makan roti canai di sebuah kedai makan yang biasa kami pergi. Tapi kedai tu belum buka lagi. Tanpa mahu membuang masa, kami mencari kedai makan lain. Sedang kami makan, saya nampak kelibat seorang makcik yang biasa saya lihat di kedai yang biasa saya makan. Lalu saya pun menegurnya: makcik ada kat sini? Ini kedai adik saya, jawabnya. Dalam hati saya: masyaAllah, banyaknya kedai keluarga dia di sini. Sebenarnya kami mengenali makcik ini sejak kami berpindah ke Jementah. Yelah, kami ni selalu juga minum di kedai. Enam tahun dulu, keluarga ini hanya mempunyai satu kedai makan, dua tahun berikutnya, mereka mengambil alih sebuah kedai makan di Arked Mara, kemudian kedai runcit di sebelahnya kemudian membuka cybercafe di tengah-tengah antara kedai makan dan kedai runcit. Hari ini saya jumpa sebuah lagi kedai makan yang berkaitan dengan keluarga ini. Saya kagum bagaimana orang berketurunan India Muslim menjalankan per

Selamat hari raya aidil adha

Image
Gambar jemaah haji berwukuf di 'Arafah Sempena dengan kedatangan 10 Zulhijjah ini, kami sekeluarga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat hari raya aidil adha kepada seluruh muslimin dan muslimat terutama pengunjung blog ini. Kepada yang sedang menunaikan fardu haji, didoakan semoga mendapat haji yang mabrur. Kepada yang belum dapat pergi, semoga dapat menunaikannya di tahun-tahun hadapan.

Anak-anak buah hati ayah dan umi

Image
Beberapa gambar kenangan di Taman Mini Malaysia Abang dan kakak di depan pintu gerbang Taman Mini Malaysia Ayah, abang, adik dan kakak Abang, adik dan kakak sedang berehat

Musim berkhatan datang lagi

Image
Musim berkhatan datang lagi. Bila cuti panjang persekolahan, anak-anak lelaki yang dah bersekolah rendah mula kecut perut takut dikhatankan. Tidak terkecuali anak saya. Satu demi satu kawan-kawannya dikhatankan, Amin 6 tahun, Amar 7 tahun, Wafi 8 tahun, Aiman 10 tahun dan ramai lagi. Bila abang nak sunat? Saya bertanya bila sekolah dah mula cuti. Dia pun jawab: Isnin depan pun boleh. Jadi pagi itu saya bawa dia ke klinik untuk berkhatan. Bila sampai di klinik, dia mula tak tentu hala. Menangisnya menjadi-jadi. Akhirnya temujanji pada hari itu terpaksa dibatalkan. Bila sebenarnya abang nak sunat ni? Tanya saya lagi minggu lepas. Isnin depanlah yah: dia menjawab. Semalam, Isnin 24.11.2008, selamatlah anak saya dikhatankan. Ayah dan umi doakan supaya abang cepat sembuh.

Tentang nama dan basikal

Image
Anak lelaki saya yang berusia 7 tahun, mempunyai nama yang sama dengan datuk saudaranya (iaitu adik bungsu ibu saya). Menurut ibu saya, adiknya tidak pandai naik basikal. Bila ayahnya belikan basikal, dia gantung basikal tersebut di bawah rumah. Yang peliknya bila nak ke mana-mana, kawan-kawannya akan senang hati untuk mengambilnya di rumah. Apabila dewasa, kawan-kawannya beli motosikal, namun dia lebih suka berjalan kaki atau naik bas. Dia tidak pandai naik basikal dan motor sehinggalah dia berumahtangga dan beranak cucu. Kini dia mampu memiliki kereta, namun dia tidak pandai memandu. Apabila nak ke mana-mana dia akan menyuruh anaknya menghantar atau mengupah orang untuk membawa keretanya. Kisah ini saya ceritakan kepada anak lelaki saya semasa dalam perjalanan balik kampung. Kata saya: abang tau tak, nama abang sama dengan nama pakcik ayah. Dia tak pandai naik basikal sampai sekarang ni. Abang menjawab: tapi abang nak bawa kereta je. Saya kata: pakcik ayah tu, tak pandai bawa keret

Musim haji datang lagi

Image
Musim haji kembali lagi. Lalu saya cuba mengingat dua potong ayat tentang haji yang saya pelajari semasa sekolah menengah. Waazzin finnaasi bilhajji ya'tuuka rijaalan ... dan seterusnya yang bermaksud, beritahulah kepada manusia supaya mengerjakan haji, nescaya mereka datang kepada engkau dengan berjalan kaki atau (berkenderaan) menaiki unta yang kurus yang datang dari tiap-tiap jalan yang jauh. Supaya mereka menyaksikan beberapa manfaat untuk mereka dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang ditentukan atas makanan yang telah diberi Allah untuk mereka iaitu binatang ternak, makanlah sebahagiannya dan berikanlah makan kepada fakir dan miskin. (al-Hajj: 27-28). Malam tadi saya berpeluang untuk hadir meraikan seorang rakan yang bakal menjadi tetamu Allah pada 2 November 2008 nanti. Dalam majlis tersebut, selain dari solat Isyak berjemaah, solat hajat dan jamuan, beberapa rakan yang telah menunaikan haji diminta menceritakan sedikit pengalaman. Rakan 1 menceritakan

Peperiksaan UiTM bermula

Image
Hari ini, 29 Oktober 2008, bermulalah episod peperiksaan akhir bagi pelajar-pelajar UiTM di Johor khususnya. Suasana peperiksaan telah menyelubungi seluruh kampus. Ia dapat dilihat dari beberapa petunjuk. Pertama, pintu bilik gerakan peperiksaan dibuka (dengan luas), kedua, kereta di tempat parkir pensyarah blok A kurang dari kebiasaan, ketiga... Inilah kali pertama sejak 11 tahun yang lalu, saya tidak terlibat secara langsung dengan peperiksaan pelajar kerana menyambung pengajian. Kalau tidak, biasanya waktu-waktu begini, saya dan rakan-rakan sedang bertungkus-lumus menyediakan markah penilaian berterusan dan menjaga peperiksaan 3-5 kali sepanjang musim peperiksaan. Ditambah pula dengan 'kerajinan melampau' pelajar-pelajar untuk berjumpa pensyarah di musim peperiksaan sebagai langkah terakhir menghadapi peperiksaan. Buat rakan-rakan pensyarah, selamat menanda kertas peperiksaan. Buat rakan-rakan di perpustakaan dan akademik, terima kasih diucapkan atas kerja keras anda. Buat p

Ingat lima sebelum lima

Image
Balik raya kali ini tidaklah semeriah tahun-tahun sebelumnya walaupun saya dapat bertemu dan bermaaf-maafan dengan ibu, ibu mertua, adik-beradik dan ipar-duai. Apa tidaknya, abang kedua sedang dalam proses kemoterapi untuk barah di peringkat dua - badannya lemah, kurus dan rambutnya gugur. Saya sayu ketika berjabat tangan dengannya di pusara ayah. Dia dan ibulah yang membesarkan saya semenjak ayah tiada. Abang sulung dan isterinya pula sedang mengalami demam chikungunya sejak sehari sebelum raya, sukar untuk bediri mahupun berjalan. Ibu dan ibu mertua pula semakin lemah kudratnya kerana dimamah usia. Melihat keadaan ini membuatkan saya berfikir, menerawang mengingati lagu nasyid dendangan Raihan yang juga merupakan maksud sebuah hadis: Ingat lima perkara, sebelum lima perkara, sihat sebelum sakit, muda sebelum tua, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sempit, hidup sebelum mati...terngiang-ngiang senikata lagu Raihan ini dalam kepala saya. Apakah masih ada kelima-lima peluang tersebut b

Aiya cicaak!

Image
Semalam adik ipar perempuan saya yang bekerja sebagai pengajar di Kolej Matrikulasi datang untuk berhari raya. Biasanya kalau dia datang dia akan membawa kisah yang boleh membasahkan gusi kami. Kali ini dia bercerita tentang tv. Menurutnya, tv rakan serumahnya selalu rosak, setiap kali hantar ke kedai untuk diperbaiki, tauke kedai tv akan menjerit: aiya cicak, ada cicak mati la dalam lu punya tv. Kerosakan berlaku beberapa kali menyebabkan rakan serumahnya membetulkan tv di kedai lain pula. Peliknya, di kedai lain, foreman tu tak ada sebut aiya cicak pula. Lalu rakan serumah adik ipar saya pun tanya kepada foreman tersebut: tauke, tak ada cicak ke? Aiya adik, ini tv mana ada lubang, macam mana cicak mau masuk, tapi wa ingat lu punya tv ada sparepart tiruan: kata foreman tersebut. Rupa-rupanya foreman pertama sengaja menggantikan sparepart tiruan tv rakan adik ipar saya, tu yang tv selalu rosak tu. Lalu aiya cicak ini menjadi gurauan rakan-rakan serumah bila-bila mereka berkumpul be

Wau bulan

Image
Anak lelaki saya yang berumur 7 tahun begitu teruja melihat wau yang seakan-akan berbentuk lebah tergantung di dinding rumah neneknya. Dia begitu teruja bila pakciknya 'menerbangkan' wau tersebut ke udara. Makin lama makin tinggi di udara. kelihatan seperti seekor lebah yang terbang untuk menghisap madu atau untuk menyengat mangsa. Sejak dari itu anak saya begitu berminat untuk mengetahui tentang cara-cara membuat wau. Yah, macam mana rupa pokok buluh? anak saya bertanya semasa balik dari sekolah. Dalam perjalan dari UiTM ke rumah, saya menunjukkan serumpun pokok buluh kepadanya. Oh macam tu pokok buluh. Bagusnya kalau kat rumah kita ada pokok buluh, katanya. Abang nak buat apa dengan pokok buluh tu? tanya saya. Abang nak buat wau. Boleh tak ayah ajar abang macam mana nak buat wau? balasnya. Hai... nampaknya saya kena belajar buat wau pulak.

Ambil kesempatan

Image
Seorang rakan isteri saya bekerja sebagai guru tadika di sekolah tadika berhampiran dengan rumahnya. Dia kelihatan seperti seorang guru yang penyayang. Ibubapa kelihatan berpuashati dengan khidmat guru ini. Namun saya lihat kebaikan guru ini telah diambil kesempatan oleh ibubapa anak-anak ini. Walaupun tugas hakikinya bermula pada pukul 8.00 pagi dan tamat pada pukul 11.30 pagi, ada ibubapa yang menghantar anaknya seawal 6.50 pagi. Malahan ada yang tinggalkan pula anak ini di rumah guru tersebut selepas tamat masa persekolahan. Kami kasihan juga melihat kesibukan guru tersebut, almaklumlah pagi-pagi biasanya nak siapkan anak-anak ke sekolah dulu sebelum pergi kerja, tengahari pula nak siapkan makanan untuk anak-anak yang nak balik sekolah. Saya harap ibubapa yang menghantar anak-anak ke tadika supaya tidak terlalu membebani guru-guru tadika dengan tugas-tugas yang sepatutnya dilakukan oleh ibubapa sendiri.

Segamat - Shah Alam - Segamat 3

Image
Sepanjang bulan Ramadhan yang lalu, tiada perjalanan Segamat-Shah Alam-Segamat. Yang ada hanyalah Segamat-Segamat-Segamat. Kini selepas Ramadhan berlalu, siri Segamat-Shah Alam-Segamat bermula kembali. Route perjalanan yang sama dengan pengisian kisah yang berbeza.

Saya dan dua penyelia

Image
Sebagai seorang pelajar ijazah kedoktoran, saya diselia oleh dua orang doktor, seorang bergelar professor manakala seorang lagi professor madya. Kedua-duanya mempunyai kepakaran dalam bidang yang agak berbeza, seorang dalam bidang pelaporan kewangan manakala yang seorang lagi dalam bidang perakaunan pengurusan. Saya harap saya dapat menimba ilmu dari kedua-duanya untuk menghasilkan sebuah penyelidikan yang menggabungkan kedua-dua bidang ini. Kisah kehidupan harian penyelia pertama boleh dibaca di sini manakala latarbelakang penyelia kedua boleh dibaca di sini .

Selamat Hari Raya Aidil Fitri

Image
Selamat hari raya aidil fitri saya ucapkan kepada isteri dan anak-anak saya. Juga kepada semua pengunjung-pengunjung blog ini. Semoga berbahagia di hari raya. Maaf zahir dan batin. Terima kasih diucapkan kepada yang telah mengirim kad. Pengirimnya Abang Ahmad, Kakak Dijah, bekas student Nurhuda, student semester lepas, Fadillah, Faizah, Izzati, Aishah, Baiduriah dan DN Azlima. Minal aidin wal faizin. TaqabbalaLlahu minna waminkum.

Mungkinkah malam tadi malam Qadar?

Image
Mungkinkah malam tadi malam Qadar? Menurut Imam Ghazali, sekiranya ramadhan bermula pada hari Isnin, malam Qadar akan berlaku pada malam 21 Ramadhan. Apakah tanda-tanda malam Qadar? Antaranya: (1) Sinar cahaya sangat kuat pada malam Qadar dibandingkan dengan malam-malam yang lainnya. (2) Ketenangan dan kelapangan hati yang dirasakan oleh orang-orang yang beriman lebih kuat dari malam-malam yang yang lainnya. (3) Malam yang terang, tidak dingin dan tidak panas serta tidak turun hujan”. (HR. Ibnu Khuzaimah no.2190 dan Ibnu Hibban no.3688 dan dishohihkan oleh keduanya). (4) Matahari terbit pada pagi harinya dalam keadaan tegak lurus, tidak tersebar sinarnya seperti bulan pada malam purnama (HR. Ahmad) (5) Kenikmatan beribadah dirasakan oleh seseorang pada malam Lailatul-Qodar lebih tinggi dari malam-malam yang lainnya. Rasa-rasanya macam ada tanda-tanda tersebut malam tadi. WaLlahu a'lam.

Yang mana satu idaman kalbu?

Image
Yang mana satu idaman kalbu? Entri kali ini tak ada kena mengena dengan lagu yang mana satu pilihan kalbu dendangan P. Ramlee. Sebaliknya ia berkaitan dengan ramadhan yang kita sedang sama-sama lalui. Mulai malam esok kita akan berada dalam sepuluh malam terakhir yang dijanjikan oleh Allah dengan kebebasan dari api neraka. Malam esok juga bermulalah episod pencarian malam qadar yang lebih baik dari seribu bulan. Di satu sudut yang lain, 1 syawal semakin dekat. Persediaan untuk menyambut syawal perlu sebagai melahirkan rasa kesyukuran dan tanda kegembiraan kejayaan menempuh ramadhan. Kuih-muih, pakaian baru, langsir baru dan perabut baru. Jadi, yang mana satu pilihan kalbu? Dengan apa kita nak isikan sepuluh malam terakhir kita? Pilihan di tangan kita.

Dua minggu sudah berlalu

Image
Ramadhan sudah sampai di pertengahannya. Orang bujang biasanya tidak bermasalah sangat tentang berbuka dan sahur. Beli dan bawa balik atau makan di kedai saja. Kalau rajin masak dan makan di rumah. Realiti orang berumahtangga agak berbeza, lebih-lebih lagi bila dah ada anak. Dalam bulan puasa ni, biasanya anak-anak akan menampakkan sifat-sifat yang tersembunyi untuk menguji kesabaran ibubapa terutama sekali ibu. Anak ketiga [2 tahun +] yang dah petah bercakap selalu mengaku berpuasa walaupun ke hulu ke hilir dengan makanan. Bila berbuka, dialah yang lebih. Sebelum orang lain berbuka, dia dah berbuka dulu. Kadangkala bersahur pun dia 'join' sekali walaupun lepas tu bersarapan pagi. Anak kedua [7 tahun] yang baru pertama kali berpuasa kadangkala merengek-rengek waktu bersahur kerana tak boleh buka mata. Kadangkala merengek haus di waktu petang terutamanya bila hari tak sekolah. Kadangkala agak cerewet tentang lauk dan juadah untuk berbuka atau sahur. Namun alhamdulillah, masuk ha

Salam aidilfitri dari Syahrul dan rakan2 di Perth

Image
Disiarkan di Berita Harian, Khamis, 11.09.2008. SELAMAT hari raya dan maaf zahir batin kepada seluruh keluarga kami di Melaka, Johor, Selangor, Terengganu, Kelantan, dan Pulau Pinang serta rakan-rakan di UiTM Segamat , UiTM Shah Alam, UPSI dan UMT. Tak dilupakan juga kepada bekas majikan pasangan kami di Ingress Bhd, Western Digital, MISC dan Majlis Sukan Negara serta penaja kami, Kementerian Pengajian Tinggi, UiTM, UPSI dan UMT. (Dari kiri) Wan dan Iza, Syah dan Imah , Zali dan Sha, Sham dan Nun dan Nazri dan Ikin serta anak-anak. Pelajar-pelajar PhD dan pasangan di Edith Cowan University, Joondalup Campus, Australia Barat

Salam perantauan dari Khairul NZ sekeluarga

Image
Terbit di Utusan Malaysia, 8.9.2008 Nama Pengirim: Khairul Anuar Kamarudin dan Wan Adibah Wan Ismail Email : khairul.kamarudin @ vuw.ac.nz Lokasi/Alamat Pengirim: Pelajar PhD, School of Accounting and Commercial Law, Victoria University of Wellington, Wellington, New Zealand. Nama Penerima: Che Nah Traman, Kamarudin Mat Saman, Haminah Hussin, Wan Ismail Wan Ahmad dan semua ahli keluarga serta semua kakitangan dan pelajar UiTM Johor . Lokasi Penerima: (1) Lumut, Perak; (2) Kota Bharu Kelantan; dan (3) Segamat, Johor . Ucapan : Salam Aidilfitri kepada ayahanda, bonda dan keluarga di Lumut Perak dan Kota Bharu, Kelantan dan tidak lupa kepada semua sahabat, kakitangan dan pelajar UiTM Segamat, Johor . Pengenalan Gambar: Adibah, Khairul dan anak-anak (Imran, Ainul dan Najmi) Lokasi Gambar: Turao, New Zealand

Seminggu sudah berlalu

Image
Seminggu sudah berlalu. Rasanya baru semalam kita mula berpuasa. Rupanya dah seminggu. Cuba kita semak diri kita, apa yang kita dah lakukan dalam seminggu ini. Sempurnakah puasa kita. Cukupkah terawih kita. Macam mana pula dengan bacaan atau tadarus al-qur'an. Semakin kurang atau semakin banyak perbelanjaan untuk makan minum.

Ramadhan datang lagi

Image
Ramadhan datang lagi. Marhaban ya ramadhan [selamat datang wahai ramadhan]. Ramadhan datang sebagai madrasah, untuk mendidik umat menjadi insan bertaqwa. Di siangnya Allah sediakan satu medan untuk merasai kelaparan dan kepedihan orang yang lapar [miskin], pada malamnya disediakan medan untuk beribadah, syaitan pula diikat supaya tidak menggoda. Salah satu dari malamnya lebih baik dari seribu bulan. Ramadhan, diawalnya rahmat, di tengahnya keampunan dan di akhirnya kebebasan dari api neraka. "Barangsiapa berpuasa di bulan ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharap ganjaran dari Allah, akan diampunkan baginya dosa-dosa yang telah lalu," maksud hadith. Semoga ramadhan kali ini mampu mendidik kita untuk kesekian kalinya menjadi insan bertaqwa. Marhaban ya ramadhan.

Solat Dhuha 2 - Apa yang kita baca

Image
Dalam rakaat pertama biasanya kita akan membaca surah as-syams [surah 91] selepas membaca surah al-fatihah. Mari kita perhatikan apa makna ayat-ayat yang kita lafazkan supaya ia memberi kesan kepada jiwa kita [terutama ketika kita baca ayat 8-10]. (91:1) Demi matahari dan cahayanya di pagi hari, (91:2) dan bulan apabila mengiringinya, (91:3) dan siang apabila menampakkannya, (91:4) dan malam apabila menutupinya, (91:5) dan langit serta pembinaannya, (91:6) dan bumi serta penghamparannya, (91:7) dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya), (91:8) maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya. (91:9) sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, (91:10) dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya. (91:11) (Kaum) Tsamud telah mendustakan (rasulnya) karena mereka melampaui batas, (91:12) ketika bangkit orang yang paling celaka di antara mereka, (91:13) lalu Rasul Allah (Saleh) berkata kepada mereka: (`Biarkanlah) unta betina Allah dan minuma

Rakan baru saya - Twinmate Laptop

Image
Inilah wajah rakan baru saya dipandang dari depan dan belakang. InsyaAllah dia akan menjadi rakan karib saya untuk tempoh tiga tahun yang akan datang. Ia boleh didapati dengan harga RM1399. Butir-butir mengenai spesifikasi rakan saya ini seperti berikut: Ultra Low Voltage CPU AMD LX-800 8” Wide Screen Display (800 x 480) Lightweight @ 1 kg only 4-in-1 Card Reader Wireless LAN 802.11b/g Built-in 60Gb HDD 1Gb RAM Built-in Web Camera LAN Slot RJ-45 USB Port x2, VGA Port x1 Polymer Battery

Buku baru Accounting for business combination

Image
6-8-2008. "Salam En. Zul, buku saya dah siap dicetak ke belum?" Sms saya pada En. Zulkifli, Koordinator Sains Kemasyarakatan UPENA. "Dah siap dan dah boleh ambil salinan penulis, " bunyi smsnya. Petang itu juga saya ke pejabat pentadbiran UPENA untuk mengambil buku salinan penulis. Saya belek depan dan belakang buku tersebut untuk melihat kualiti penerbitannya. Ternyata kerja-kerja penerbitan kakitangan UPENA kini semakin berkualiti. Alhamdulillah. Akhirnya penantian selama 2 tahun 7 bulan untuk melihat buku ini diterbitkan berakhir. Kenapa sampai 2 tahun 7 bulan? Inilah yang dikatakan ketentuan Allah S.W.T. InsyaAllah buku ini boleh dimanfaatkan terutamanya oleh pelajar-pelajar DIA semester 5 kerana isi kandungannya selaras dengan kandungan silibus Financial Accounting 5 [FAR 300].

1 Ogos adalah 11

Image
1 Ogos 2008 - Genaplah umur saya 11 tahun bersama UiTM Johor. Banyak pengalaman manis dan pahit dalam tempoh tersebut [kebanyakannya manis]. Semasa pertama kali masuk ke bilik rehat pensyarah, saya disapa oleh Puan Zaiton Endot [kini di Shah Alam], "student mana boleh masuk bilik rehat pensyarah!". Saya hanya tersenyum. Mungkin saya kelihatan muda masa tu. Semester pertama, En. Razak Dahlan [KP DIA yang terlalu baik hati] suruh saya pilih subjek yang saya nak ajar [dalam senarai ada 4 subjek]. Saya pun pilih ACC161 dan ACC211 - kini kedua-dua subjek telah dilupuskan. Minggu pertama mengajar ACC211, seorang pelajar angkat tangan seraya berkata, "Encik, saya tak faham langsung apa yang Encik ajar,". Kemudian semua pelajar lain pun menyokong pelajar ini. Saya cuba 'cool'kan diri dan bertanya kembali, " sebenarnya bahagian mana yang kamu semua tak faham?" Rupa-rupanya mereka cuma rasa tak faham walaupun sebenarnya faham - sekadar menduga kesabaran pens

Berita gembira

Image
Setelah menunggu hampir seminggu, pagi ini saya mendapat sepucuk emel dari pihak pengurusan akademik. Salah satu dari paragrafnya seperti berikut: "Setelah diteliti alasan-alasan yang diberikan, pengurusan akademik meluluskan permohonan tuan untuk menggunakan bilik kerja tersebut." Alhamdulillah, saya mengucapkan syukur yang tidak terhingga kepada Allah kerana dibenarkan untuk terus menggunakan bilik saya semasa saya dalam pengajian.

Terima kasih Cik bagi kami kerja...

Image
Terima kasih Cik bagi saya kerja! Itulah kata-kata yang diungkapkan oleh Marlina, seorang pensyarah baru merangkap bekas pelajar saya bila terserempak dengan saya di depan Perpustakaan Tun Dr Ismail. Bersama dengan beliau dua lagi rakannya, Liyana dan Hazlia. Masing-masing tersenyum. Sebenarnya bukanlah saya yang memberi mereka kerja sebagai pensyarah. Saya [sebagai KP BACC ketika itu] cuma memilih nama pelajar-pelajar yang yang lulus dengan cemerlang pada semester akhir Mei 2008 untuk dicalonkan sebagai pensyarah. Rezeki mereka murah. Do'a mereka dimakbulkan oleh Allah. Lalu jadilah mereka pensyarah. Bila ditanya samada seronok atau tidak menjadi pensyarah. Dengan tersenyum mereka kata seronok. Mereka telah ditugaskan untuk mengajar pelajar-pelajar semester 1 dan 3. Saya bersyukur kepada Allah kerana mereka yang saya calonkan benar-benar meminati bidang pendidikan. Langkah mereka masih panjang. semoga mereka terus berjaya. Ada peluang lagi ke tahun depan? Sapa tahu rezeki kita. Mu

Segamat - Shah Alam - Segamat 2

Sebagai alternatif kepada memandu, saya telah menerima pandangan beberapa rakan [termasuk rakan maya Wanz]. Saya bertolak dari Segamat pukul 2.00 pagi dengan menaiki keretapi dan sampai di KL Central lebih kurang pukul 6.00 pagi. Selepas solat dan bersarapan, menaiki komuter hingga ke Shah Alam, naik teksi hingga ke Seksyen 2, naik RapidKL untuk pergi ke Fakulti. Habis keperluan di Fakulti, naik semula bas RapidKL ke Seksyen 2, naik teksi ke Sekyen 17 untuk naik bas pula pada pukul 6.00 petang dan sampai di Segamat kira-kira pukul 10.00 atau 11.00 malam. Satu perjalanan yang panjang.

Syahrul Ahmar - Perth

Image
Syahrul Ahmar merupakan salah seorang dari rakan seperjuangan yang sudah memulakan perjuangannya dalam menuntut ilmu. Beliau dan keluarga kini berada di Edith Cowan University [ECU], Perth, Australia untuk tempoh tiga tahun. Semoga kehidupan beliau dan keluarga di sana dipermudahkan oleh Allah.

Segamat - Shah Alam - Segamat

Image
Segamat - Shah Alam - Segamat. Itulah 'route' saya dua kali seminggu. Saya kena berada di Shah Alam untuk mengikuti seminar mingguan yang dianjurkan oleh Fakulti yang biasanya diadakan pada hari Rabu. Seminar pertama [9.8.2008] menampilkan Prof. Sakthi Mahenthiran dengan tajuk 'Corporate Governance'. Pada hari Sabtu dan Ahad pula IPSIS mengadakan kuliah kaedah penyelidikan. Kuliah minggu pertama [12-13.8.2008] dijalankan oleh Dr. Chan dan Dr. Parmjeet dari Fakulti pendidikan. Mereka telah membincangkan tentang 'Problem', 'Title', dan 'Literature Review'.

Bertemu bakal penyelia

Image
Pukul 9.34 pagi saya menerima panggilan dari PA bakal penyelia saya. "Prof free sekarang," katanya. "OK saya datang," kata saya ringkas. Dipendekkan cerita, sayapun bertemu dengan bakal penyelia saya dan berbincang tentang beberapa perkara [1] kesudian menjadi penyelia [2] menerima cadangan seorang penyelia bersama [co-supervisor] [3] melihat cadangan kajian. Perkara [1] dan [2] diterima. Perkara [3] Dalam masa lebih kurang seminit membaca, bakal penyelia kata kajian tersebut ada persamaan dengan kajian pelajar yang sedang diselianya. Jadi dia nasihatkan supaya saya membaca lagi, masa masih panjang. Mungkin saya boleh tengok aspek lain atau sudut lain atau model baru. Aspek lain? Sudut lain? Model baru? Membaca, membaca dan membaca. Inilah tugas hakiki saya sekarang ni. Sesampai di pintu bilik. Bakal penyelia mengingatkan sekali lagi, "tak apa Lim, baca lagi".

Tambang bas naik

Image
"Ayah, pak cik bas kata tambang bas bulan ni naik RM60," kata anak perempuan saya petang semalam. "Ye ke?" kata saya. "Ye yah," anak lelaki saya pula menambah. Sebelum ini tambang bas sekolah dari Taman Bunga Raya - SRAB - UiTM sebanyak RM40 seorang sebulan. Kini bila naik jadi RM60 sebulan bermakna saya kena bayar RM120 sebulan untuk dua anak saya. Inilah hakikat yang saya kena terima. Saya tidak boleh menyalahkan pengusaha bas dalam hal ini. Bila harga minyak naik tentu kos operasi mereka juga naik. Kenaikan sebanyak 50% ini mungkin belum cukup untuk menampung perbelanjaan operasi mereka. Dengan kadar inflasi 7% bulan ini, tentu kos penyelenggaraan juga akan meningkat lagi. Saya dan rakan-rakan pensyarah mungkin mampu untuk menampung kenaikan ini. Bagaimana pula keadaannya dengan rakan-rakan lain?

Akademi Al-Qur'an 3

Image
Akademi Al-Qur'an 3 telah melabuhkan tirainya pada 19 Jun 2008 yang baru lalu. Saudara Fakhrul telah diisytiharkan sebagai Johannya. Saya berpandangan positif sekiranya program ini diteruskan dan dilaksanakan dengan adab-adab yang dipelihara, program ini mampu melahirkan bukan sahaja johan-johan tetapi juga masyarakat yang menghayati tuntutan Al-Qur'an.

Khairul dari Wellington

Image
Semalam saya menerima satu panggilan dari seorang rakan seperjuangan yang baik hati, Khairul Anuar dari wellington. Dalam kesibukannya mengejar impiannya di sana, Khairul [yang mewarisi kebaikan gurunya] masih sempat untuk bertanya khabar dan perkembangan pengajian saya di sini. Dia sempat memberi beberapa panduan dan nasihat di samping 'contact person' sekiranya memerlukan pandangan. Terima kasih Khairul kerana selalu mengambil berat.

Mendaftar

Pagi tadi seawal 6.30 saya telah bertolak dari rumah di Jementah menuju ke Shah Alam untuk mendaftar sebagai pelajar. Sampai di DSB, terdapat sekitar 1,000 pelajar baru lepasan ijazah [PhD dan Master] sedang beratur panjang. Saya lihat sebahagian besar dari mereka masih muda [24-25 tahun bagi program master; 27-30 tahun bagi PhD].

ICOSSH'08 USM

Pada pukul 9.00 malam ini, insyaAllah saya akan bertolak ke USM, Pulau Pinang untuk menghadiri dan membentang kertas kerja di ICOSSH2008. Saya akan berada di sana hingga Khamis petang. Pembentangan saya dijadualkan pada pukul 4.00 petang 18.6.08 dan 9.00 pagi 19.6.08. Menurut En. Osman [pemandu UiTM] perjalanan mengambil masa yang lama, mungkin akan sampai lebih kurang jam 5.00 pagi. Saya berdo'a semoga dipermudahkan urusan oleh Allah.

Jeram Hulu Jementah

Bagi yang berminat untuk menenangkan fikiran, boleh cuba pergi ke tempat ni. Fazli sedia membantu. Fazli said... En. Halim, Boleh je saye bawak encik pergi ke jeram tu...tapi memang masuk ke dalam hutan sikit la...kereta pun boleh masuk...tapi name pun dah jeram kan...so kecik sikit la, xmacam gunung ledang nun...tp ade good news, it's free!!!

Perasaan pensyarah 2

Sejak petang Jumaat yang lepas [6.6.08] saya telah menerima panggilan dan sms bertalu-talu dari pelajar-pelajar saya. Dua pertiga daripadanya mengucapkan syukur dan terima kasih kerana telah lulus dalam FAR450 dan sebahagian lagi telah berjaya lulus FAR400 [yang menggerunkan] setelah beberapa kali diambil. Ada juga bertanya tentang RMP dan sup-paper. Beginilah panggilan dan sms bermusim selepas keputusan peperiksaan diumumkan.

Tinggal 12 hari lagi...

Hijrah saya ke alam pelajar tinggal 12 hari lagi. Terkenang kembali ketika saya mula didaftarkan oleh ayah saya [kini almarhum] masuk darjah satu pada Januari 1977. Kemudian saya mendaftar sendiri masuk tingkatan 1 pada Januari 1983. Selepas itu mendaftar pula tingkatan 4 pada Januari 1986. Pada bulan Julai 1988, ibu menghantar saya untuk mendaftar Diploma Perakaunan di ITM Segamat di Bandar Segamat Baru. Setelah bekerja tiga tahun, mendaftar pula sebagai pelajar ADIA [kini BACC[Hons] di ITM Shah Alam pada bulan Julai 1994. Pada bulan Jun 1996 mendaftar pula sebagai pelajar sarjana di Curtin University of Technology, Australia. Itu semua saya lalui dalam zaman bujang saya. Kini selepas hampir 12 tahun, insyaAllah saya akan mendaftar sekali lagi sebagai pelajar pada 21 Jun 2008. Bezanya kali ini saya adalah seorang pelajar merangkap suami kepada seorang isteri merangkap ayah kepada tiga orang anak dan merangkap seorang anak kepada seorang ibu yang telah tua. Saya rasa cabaran sebagai pe

Hari Terakhir

31 Mei 2008 adalah hari terakhir saya sebagai KPBACC. Walaubagaimanapun saya masih lagi menjalankan tugas-tugas KP kerana KP yang baru belum mendapat surat perlantikan. Tugas KP-KP ketika ini ialah menyediakan ATA untuk pensyarah-pensyarah di Fakulti masing-masing sebelum Jawatankuasa Penyediaan Jadual Waktu bersidang [buat jadual]. Keadaan di kampus agak sunyi walaupun ada sebahagian dari pelajar yang mengambil intersesi. Bagi pensyarah yang tidak terlibat mengajar intersesi kebanyakannya mengambil kesempatan untuk bercuti [kebetulan sekarang ni sekolah pun cuti]. Jadi bolehlah mereka bawa anak-anak berjalan atau menziarahi datuk-nenek di kampung.

YB Halim

Fazli telah menggelarkan saya sebagai YB Halim dalam blognya dengan entrinya 'macam membaca sebuah buku'. Mula-mula membaca entri tersebut saya merasa terkejut juga. Namun sebenarnya YB tu bukanlah Yang Berhormat tetapi Yang Berblog. Sebenarnya ramai YB yang berada di UiTM Segamat. Yang paling popular ialah blog Prof Kamil. Lain-lain YB termasuklah termasuklah Ustaz Nawawi, Ustaz Dr Ahmad, PM Ustaz Halim, Syahrul Ahmar, Pn Noraini dan lain-lain. Manakala YB yang sedang melanjutkan pelajaran pula terdiri dari Khairul Anuar, Halim Shuhaimi dan Balkish.

Hari Konvokesyen

Hari ini saya dan Puan Norfizah ke Shah Alam untuk satu mesyuarat penting di fakulti. Dari luar UiTM kelihatan penuh sesak dengan kenderaan pelajar dan ibubapa yang menghadiri majlis konvokesyen. Sampai di Menara saya melihat bekas-bekas pelajar saya ada yang sedang mengucapkan tahniah antara satu sama lain, manakala yang lain sedang mengambil gambar kenangan bersama keluarga dan rakan-rakan. Ada juga beberapa bekas pelajar yang menyapa dan bertanya khabar. Saya mengucapkan tahniah kepada mereka. Semoga mereka terus berjaya mengharungi kehidupan masa depan yang mencabar dengan bekalan ilmu yang mereka perolehi di UiTM.

Solat dhuha

Salah satu dari sabda Rasullullah SAW tentang solat dhuha yang bermaksud: "Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan." Doa’ sembahyang Dhuha ialah: "Ya Allah, bahawasanya waktu Dhuha itu waktu DhuhaMu, kecantikan itu ialah kecantikanMu, keindahan itu keindahanMu, kekuatan itu kekuatanMu, kekuasaan itu kekuasaanMu dan perlindungan itu perlindungan Mu. Ya Allah jika rezekiku masih diatas langit, turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika ia (dari yang) haram maka sucikanlah, jika masih jauh dekatkanlah, berkat waktu Dhuha, Keagungan, Keindahan, Kekuatan dan Kekuasaan Mu, limpahkanlah kepada kami sebagaimana Engkau limpahkan kepada hamba-hamba Mu yang saleh ."

Haji Mohd Halim

Haji Mohd Halim bin Kadri - itulah penama yang tertera dalam surat yang saya terima pagi ini. Sebenarnya ini bukan pertama kali saya dipanggil begitu. Sehingga kini nama saya telah tertera begitu dalam beberapa helai surat rasmi, sebuah minit mesyuarat rasmi dan sebuah sijil rasmi. Keadaan ini menjadikan saya sedikit risau [cuak] kerana saya belum lagi menunaikan fardhu haji dan baru bercadang nak pergi pada tahun depan. Saya pernah meminta nama saya dalam minit mesyuarat yang tertera sebagai Haji Mohd Halim Kadri dibetulkan. Namun bos saya mengatakan, "mungkin dah nak sampai seru kot". Ada sekali saya ditanya oleh pemandu UiTM yang membawa saya ke Shah Alam selepas selesai musim haji. "Hari itu berapa ramai ya yang pergi haji sekali dengan Encik Halim?" Saya kata, "saya tak pergi". "Oh ingatkan pergi hari tu," balasnya. Mungkin betul juga kata bos saya. Agaknya seruan untuk saya menunaikan haji semakin dekat. Saya memohon yang terbaik dari Allah

Sehari selembar benang

Sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain - itulah kata-kata hikmat orang dulu-dulu. Orang dulu-dulu kebanyakannya bekerja sendiri. Pagi menoreh getah dan petang tanam nenas di kebun belakang rumah. Kadangkala selepas asar sempat lagi buat kerja sambilan. Semuanya dilakukan untuk mencari rezeki untuk membeli beras dan menghantar anak ke sekolah. Sehari selembar benang lama-lama menjadi kain ini dikaitkan dengan kerja sambilan. Ada yang membuat kerja sambilan menenun kain, selembar demi selembar benang ditenun mungkin mengambil masa hingga sebulan untuk menjadi kain. Itu cerita dulu-dulu. Dalam realiti kehidupan sebagai pensyarah, kerja hakikinya [yang merangkumi 70%] ialah pengajaran dan pembelajaran. Selain dari itu ada kerja-kerja lain yang perlu dibuat [termasuk penulisan]. Kalaulah kerja penulisan ini boleh dianggap sebagai sambilan, maka kita boleh gunakan kata-kata hikmat orang dulu-dulu iaitu sehari selembar benang kita tukarkan kepada sehari selembar [sehelai/semuka surat]

Penemuan pelik

Beberapa tahun yang lepas, saya telah membuat kajian tentang bagaimana pencapaian pelajar sekiranya mereka diajar oleh pensyarah yang bersamaan gender dan berbeza gender. Hasil dari ujian-t [t-test] mendapati [1] pelajar perempuan yang diajar oleh pensyarah lelaki lebih cemerlang pencapaiannya daripada pelajar perempuan yang diajar oleh pensyarah perempuan; [2] pelajar lelaki yang diajar oleh pensyarah lelaki pencapaiannya lebih kurang sama dengan pelajar lelaki yang diajar oleh pensyarah perempuan. Apakah rumusannya? [1] Pelajar perempuan menjadikan pensyarah sebagai salah satu faktor penting untuk berjaya. [2] Pelajar lelaki tidak menjadikan pensyarah sebagai satu faktor penting untuk berjaya.

Berkenalan

"Abang ada ramai kawan kat sekolah, ada darjah satu, darjah tiga, darjah empat dan darjah lima pun ada," kata abang memulakan cerita. "Kakak pun berkawan dengan semua orang juga," kakak menyampuk. "Ayah tahu tak, kita boleh memulakan perbualan dengan bertanya jam pukul berapa?" kakak meneruskan soalannya. "Kat mana kakak dapat petua tu?" tanya saya. "Dalam sebuah buku yang kakak baca," sambungnya. Sebenarnya bukan senang untuk berkenalan apatah lagi untuk memulakan perbualan. Tapi bila dah kenal dan mula berbual kadangkala susah pula untuk berhenti. Dikisahkan, ada seorang pendakwah sedang menaiki bas menuju ke suatu tempat yang jauh. Di sebelahnya terdapat seorang yang pemuda yang sentiasa memalingkan muka ke tingkap sepanjang perjalanan. Pendakwah tersebut ingin berkenalan dengan pemuda tersebut dan seterusnya menyampaikan dakwahnya. Setelah berfikir sejenak, pendakwah tersebut telah memijak kaki pemuda di sebelahnya dan meminta maaf

Perasaan seorang pensyarah

Ada pensyarah yang dianggap oleh pelajarnya sebagai 'baik' manakala yang lain dianggap sebaliknya. Tapi adakah pelajar benar-benar mengetahui perasaan pensyarahnya? Saya ingin menceritakan pengalaman peribadi saya memeriksa kertas jawapan peperiksaan akhir pelajar-pelajar saya. Pertama sekali saya akan memeriksa semua helaian dan mengharap semua pelajar saya akan lulus. Selesai memeriksa, saya akan menjumlahkan markah yang mereka perolehi. Sekiranya terdapat pelajar yang markahnya kurang dari 50, saya akan menyemak beberapa kali sehingga pasti bahawa tidak ada markah yang tidak diberi. Namun kadangkala ada juga pelajar yang tidak lulus menyangka bahawa pensyarahnya tidak memeriksa atau tidak memasukkan markah peperiksaan akhir mereka. Hakikatnya mereka sendiri sebenarnya tahu bahawa mereka tidak menjawab dengan baik. Jadi, siapakah yang memahami perasaan pensyarah?

Hari pekerja

Semalam, 1 Mei 2008 saya telah membawa isteri dan anak-anak mandi di Hutan lipur Gunung Ledang [20 minit perjalanan]. Menakjubkan. Pengunjung terlalu ramai, 'parking' penuh, tempat mandi pun penuh. Anak-anak pula tak sabar untuk mandi. Akhirnya kami dapat satu lokasi yang sesuai untuk mandi. Kakak [long] dan abang [ngah] tidak begitu berpuashati dengan lokasi tersebut pada mulanya. Namun bila dah mandi keadaan 'ok' semula. Adik yang baru pertama kali mandi di kolam air terjun sangat teruja dengan kesejukan airnya. Tak sangka adik yang belum genap dua tahun tak takut air macam abang dan kakaknya. Lebih kurang sejam di sana, kami beredar ke Tangkak untuk makan tengahari. Asam pedas ikan pari menjadi hidangan pilihan kami.

IELTS BHG 3

Alhamdulillah - Itulah kata-kata yang saya boleh luahkan pagi ini bila mendapat keputusan yang saya harapkan. Saya telah mendapat band 6.5. Ini bermakna saya tidak perlu mengulang peperiksaan tersebut. Alhamdulillah. Ini juga bermakna saya boleh tumpukan perhatian kepada langkah-langkah seterusnya.

Demi masa

Hari ini ialah hari terakhir saya dengan pelajar-pelajar BACC semester 5. Sebelum saya meninggalkan mereka pagi tadi, salah seorang dari mereka meminta saya untuk menyampaikan 'KuLiM' [Kuliah Lima Minit] saya yang terakhir. Terasa terharu pula bila pelajar yang minta, sebab selalu saya beri tanpa diminta. Dipendekkan cerita, saya mengajak mereka merenung tentang masa yang telah Allah beri kepada semua orang selama 24 jam sehari, ke mana ia digunakan? Saya jelaskan kepada mereka bahawa Allah mahu kita supaya menggunakan masa yang kita ada untuk empat perkara. Sekiranya kita tidak melakukan perkara tersebut, maka kita akan menjadi manusia yang rugi di sisi Allah. Pertama, masa yang Allah beri hendaklah kita gunakan untuk beriman kepadaNya dan jangan sekali-kali menyekutukanNya. Tidak ada gunanya kita mempunyai semuanya kalau kita tidak beriman kepada Allah. Kedua, supaya tidak rugi, kita hendaklah gunakan masa yang kita ada untuk beramal soleh. Sekurang-kurang amal soleh ialah me

Petua hilangkan bau hanyir

Biasanya kalau kita menyiang ikan, tangan kita akan berbau hanyir. Untuk menghilangkan bau tersebut kita hendaklah membasuh tangan sambil memegang sudu keluli [stainless steel]. Isteri saya telah mencuba petua ini dan ia berkesan.

Pembentangan proposal di Fakulti

Hari ini adalah hari yang agak mendebarkan. Saya dan Syahrul akan bertolak ke Fakulti di Shah Alam untuk membentangkan proposal PhD kami di hadapan Lembaga Akademik Fakulti. Pembentangan dijangka bermula pada pukul 2.30 petang. Mungkin akan ada 10 orang doktor [termasuk Profesor] untuk menilai pembentangan ini. Saya harap tiada apa-apa masalah akan berlaku.

IELTS atau TOEFL Bhg. 2

Setelah berfikir panjang dan berbincang dengan rakan-rakan seperjuangan, akhirnya saya membuat keputusan untuk menduduki IELTS. Saya telah mengunjungi pejabat IDP di Subang Jaya [berhampiran dengan Tailor University College]. Menurut kerani yang bertugas, saya dibenarkan mengambil kesemua modul peperiksaan tersebut pada 5 April 2008. Syahrul akan turut menduduki peperiksaan tersebut pada hari yang sama. Keputusan dijangka akan dikeluarkan pada 18 April 2008. Saya berharap untuk mendapat sekurang-kurangnya band 6 dalam peperiksaan ini.

Lampu sakit

Image
Lampu sakit - Itulah kata-kata yang diungkapkan oleh anak saya Maryam, 1 tahun 9 bulan apabila melihat salah satu dari mentol lampu liplap kesukaannya tidak menyala. Anak saya yang seorang ni memang banyak cakap walaupun kadangkala tak dapat difahami apa yang dimaksudkannya. Contohnya kata-kata lampu sakit digunakannya untuk menyatakan lampu rosak. Kadangkala keadaan akan menjadi kecoh apabila dia membuat gurauan yang berlebihan dengan mengambil pensil, pemadam ataupun buku abang dan kakaknya yang sedang membuat kerja sekolah.

Buku: Agama dan kehidupan

Image
Agama dan kehidupan: tamadun, politik dan sosial - Inilah tajuk buku terbaru suntingan saya dan rakan-rakan. Buku ini mendokumenkan tulisan-tulisan beberapa tokoh ilmuan tempatan seperti Dr. Usman el-Muhammady, Prof. Dr. Yusof Osman dan Prof. Mohamad Abu Bakar. Ia juga memaparkan hasil penulisan penulis di peringkat Universiti iaitu Dr. Ahmad Zaki Abd Latiff, Ustaz Ahmad Nawawi Yaakob dan Puan Azura Abdul Jamil. Dipertontonkan di sini sedutan dari tajuk-tajuk yang terdapat dalam buku ini. Untuk melihat lebih lanjut tentang buku ini, sila ke http:\\bukuhalim.blogspot.com

Niat

Maksud sebuah hadis Nabi S.A.W: Sesungguhnya setiap amalan itu sah dengan niat, dan setiap urusan itu akan dikira berdasarkan apa yang diniatkan. Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Bengkel JPQ

Pagi ini lebih kurang pukul 9.00 pagi kami akan bertolak ke Lumut, Perak untuk menghadiri bengkel JPQ [Jawatankuasa Pengurusan Kualiti]. InsyaAllah kami akan berada di sana hingga Jumaat ini, 22 Februari 2008.

IELTS ATAU TOEFL

En Halim, jom buat IELTS sama-sama - kata Syahrul. Halim, jom buat TOEFL sama-sama - kata Kak Suria. Sebelum melangkah kaki ke tangga PHD saya perlu mengambil ujian Bahasa Inggeris sama ada IELTS atau TOEFL. Saya sedang mengkaji mana yang lebih sesuai untuk diambil. Setakat hari ini saya belum buat keputusan mana satu.

Berita dari JPBSM

Berita dari JPBSM Shah Alam - Permohonan biasiswa PHD saya telah diluluskan. Dimaklumkan juga surat akan menyusul selewat-lewatnya minggu depan. Persoalannya, sudahkah saya bersedia untuk semua ini?

KULIM

KULIM? - Kuliah lima minit merupakan kuliah ringkas saya untuk pelajar-pelajar di kelas yang saya ajar. Setakat ini saya dah sempat buat KULIM sebanyak dua kali. Tajuk pertama, marilah kita beriman kepada Allah. Tajuk kedua, Kaitan antara 'iqra', qalam dan ilmu dalam menuntut ilmu. Nampaknya semua pelajar menumpukan perhatian terhadap KULIM tersebut. Alhamdulillah.

Thalhah

Thalhah - itulah nama anak kawan isteri saya yang belajar di UiTM Segamat. Ibunya suruh saya hubungi anak dia sejak setahun yang lepas. Tapi baru tengahari ni dapat jumpa. Perbualan selam 20 minit dengannya meyakinkan saya dia seorang anak yang baik dan bertanggungjawab. InsyaAllah kami akan bertemu lagi untuk mengeratkan silaturrahim.

Hijrah

Hijrah - Itulah kata kunci Forum Perdana semalam yang dipengerusikan oleh Ustaz Kamarulzaman bersama dua panel tidak asing iaitu Prof. Dr. Kamil dan Dr. Ramli dari UTM Skudai. Kedua-duanya cukup hebat dalam menjelaskan tentang hijrah dalam konteks yang sesuai untuk penonton yang tidak berganjak dari pukul 9.00 - 12.00 tengah malam. Antara perkara yang dikupas ialah ialah kedudukan hijrah yang sebaris dengan iman dan jihad dan semangat hijrah itu kena bermula dari pemimpin dan banyak lagi fakta yang tak mampu saya tuliskan di sini.

Kultum

Image
KULTUM - bunyinya pelik sikit. Sebenarnya ia singkatan daripada [Kuliah Tujuh Minit]. Ini sebenarnya tajuk buku yang saya beli baru-baru ini. Buku ini menyajikan bahan-bahan tazkirah pendek terutamanya untuk guru dan pensyarah semasa memulakan pengajaran atau syarahan tak kiralah subjek apa yang diajarnya. Saya rasa ini merupakan peluang untuk menyampaikan walaupun hanya satu ayat seperti diajarkan oleh Nabi kita. Mungkin lepas ini saya boleh terbitkan KULIM pula [Kuliah Lima Minit].

Buku Asas Perakaunan Perniagaan

Image
Buku ini telah diterbitkan oleh UPENA pada tahun 2006.

Gambar kenangan hari raya 14 Oktober 2007

Image
Inilah gambar kenangan semasa hari kedua aidil fitri 2007.