Monday, May 25, 2009

Revenge Cube

Sejak beberapa minggu lepas, anak lelaki kami merengek-rengek mahukan permainan ini. Kawan sekolah satu bas dah ada katanya. Balik dari solat Jumaat dua minggu lepas dia membelek-belek permainan ini di Seven Eleven, Jementah. Saya diam saja. Saya tengok harganya RM11.90. Balik dari solat Jumaat minggu berikutnya, kami singgah di kedai alatulis untuk fotostet, dia belek-belek lagi alat permainan tu, harga tertulis RM9.90. Abang pandai ke nak main alat permainan ni? Tanya saya. Nanti abang belajarlah: katanya. Sampai di rumah, orang yang paling teruja ialah kakak, walaupun bukan dia yang minta. Agak-agaknya mereka ni dah berpakat. Hari pertama, kakak dan abang memerah otak untuk menyelesaikan permainan ini. Mereka gagal. Hari kedua, kakak telah berjaya menyelesaikan permainan ini. Hari ketiga barulah abang berjaya menyelesaikan permainan ini. Hari ini, dalam perjalanan ke sekolah, abang berkata: Ayah nak pilih warna apa, abang nak buat. Biru, kata saya. Selepas lebih kurang seminit. OK, biru dah siap: abang bersuara. (Nota: sebenarnya kakak lebih cepat siap dari abang). Anak-anak ni sebenarnya lebih cepat belajar sesuatu dari orang tuanya. Sampai sekarang saya belum berjaya menyelesaikan permainan ini walaupun sekali.

Thursday, May 21, 2009

Ma ta'buduna min ba'di - Apa yang kamu sembah sepeninggalanku?

Awal-awal agama mengenal Allah
Memahami sifat yang wajib baginya
Ada dua puluh sifat yang
Wajib diketahui
Oleh setiap mukallaf
Wujud ertinya ada
Qidam ertinya sedia
Baqa' ertinya kekal
Mukhalfatuhu lilhawadith
Bersalahan pada yang baharu...
Setelah difahami
Sifat wajib baginya
Perlu dihayati
Sehingga datang
Rasa bertuhan...


Itulah sebahagian dari senikata nasyid dendangan kumpulan nasyid Mawaddah yang popular tak lama dulu.
Anak-anak begitu cepat menerima dan menghadam apa yang mereka lihat, dengar ataupun lalui kerana hati mereka masih bersih umpama kain putih. Itulah sebabnya rancangan kartun yang mereka tonton setiap hari dan games yang mereka main setiap hari begitu banyak mempengaruhi karektor mereka. TV dan games sebenarnya banyak mempengaruhi mereka.
Apakah kita mahu hidup anak-kita dididik oleh kartun dan games? Sudah tentu tidak. Ibubapa perlu mengambil kesempatan ini untuk mendidik anak-anak mengenal Allah supaya hidup anak-anak kita terarah. Di zaman sekarang ni selain dari kita bercerita dengan anak-anak secara berulang-ulang, kita juga boleh memutarkan lagu-lagu nasyid yang mengajak kita mengenal Allah secara berulang-ulang. Bila diulang-ulang tentunya ianya akan meresap juga ke dalam jiwa anak-anak.
Kita sorot sejarah silam bagaimana Lukman al-Hakim (kisahnya terdapat dalam surah Lukman) menyeru anak-anaknya supaya tidak menyengutukan Allah. Kita lihat juga bagaimana Nabi Yaakob bertanya kepada anak-anaknya: apakah yang akan kamu sembah selepas kematianku?Ini dikisahkan oleh Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 133 :“Apakah kamu menjadi saksi saat maut akan menjemput Ya’qub, ketika dia berkata kepada anak-anaknya, “Apa yang akan kamu sembah sepeninggalku?” Mereka menjawab, “Kami akan menyembah Tuhanmu, dan Tuhan nenek moyangmu yaitu Ibrahim, Ismail dan Ishak, (yaitu) Tuhan yang Mahaesa dan kami (hanya) berserah diri kepada-Nya.”
Saya mengakui, untuk bercakap dengan anak-anak sendiri lebih sukar dari bercakap dengan anak murid yang telah beribu bilangannya. Memberi tazkirah kepada anak murid lebih mudah dari anak sendiri. Namun kita kena mulakannya.

Friday, May 8, 2009

Pendakwah dan tukang cat

Pendakwah umpama seorang tukang cat rumah, kata seorang sahabat saya dalam tazkirahnya. Kami terus mendengar dengan tekun. Beliau menyambung lagi: tukang cat ni ada tiga jenis. Pertama tukang cat yang mengecat rumah pelanggannya sambil merungut letih, panas, bau kuat dan sebagainya. Kedua, tukang cat yang mengecat bersungguh-sungguh kerana mengharapkan upah yang akan diterima nanti. Ketiga, tukang cat yang mengecat rumah dengan bersungguh-sungguh untuk menggembirakan tuan rumah tersebut. Apa kaitannya dengan pendakwah? tanyanya menduga kami. Beliau meneruskan lagi, pendakwah pun ada tiga jenis macam tukang cat juga. Pertama, pendakwah yang berdakwah secara terpaksa, nak tak nak dia kena berdakwah kerana jawatannya sebagai pendakwah. Kedua, pendakwah yang berdakwah bersungguh-sungguh menyampaikan dakwahnya kerana mengharapkan ganjaran pahala dan syurga dari Allah S.W.T. Ketiga, pendakwah yang bersungguh-sungguh menyampaikan dakwahnya supaya keindahan Islam yang disampaikan olehnya turut dirasai oleh orang yang menerima dakwahnya. Mendengar tazkirah ringkas ini, kami merenung ke dalam diri, di manakah kedudukan kami.

Monday, May 4, 2009

Anak-anak demam

Beginilah keadaannya kalau anak-anak demam (gambar). Minggu ini anak-anak kami demam. Ia bermula dengan kakak yang mula demam pada hari Selasa. Doktor bagi cuti dua hari untuk berehat. Doktor kata demam ni boleh berjangkit pada kawan-kawan kalau dia bersekolah. Mak saya kata: anak-anak ni kalau seorang demam, biasanya yang lain-lain pun akan demam, macam kamu dengan adik-adik kamu dulu. Orang tua banyak pengalamannya. Belum sempat baik lagi demam kakak, abang dan adik dah demam pula. Anak-anak yang demam pulak biasanya merengek-rengek minta itu dan ini tapi semuanya tak sedap. Isteri sayalah yang kena melayani anak-anak ni sebab semua tak nak dengan ayahnya ketika demam. Terima kasih umi kerana bersabar dengan kerenah anak-anak kita selama ni.