Posts

Showing posts from 2011

Buih

Image
Lebih 1400 tahun dulu Nabi pernah menggambarkan dalam sebuah hadis bahawa di akhir zaman, umat Islam akan dikerumuni oleh musuh sebagaimana orang mengerumuni makanan dalam talam. Ia terjadi bukan kerana umat Islam itu sedikit, namun ramainya umat Islam hanya umpama buih di waktu banjir. Ketika itu tidak ada lagi rasa takut atau hormat orang bukan Islam kerana umat Islam telah dihinggapi oleh penyakit wahan iaitu cintakan dunia dan takutkan kematian.
Apakah zaman yang dimaksudkan oleh Nabi telah sampai?
Di seluruh pelusuk dunia, umat Islam dianggarkan berjumlah satu bilion. Di satu penjuru dunia, umat Islam diuji dengan kekayaan yang melimpah-limpah. Sebahagian dari mereka yang mensyukuri nikmat yang banyak itu akan membelanjakan harta mereka untuk kebajikan. Manakala sebahagian besar yang lain menaburkan harta kekayaan ke tempat-tempat yang tidak boleh memberi manfaat kepada diri dan orang lain sama ada di dunia ini atau di akhirat. Lihatlah bagaimana mereka ini menaburkan wang-wang mer…

Beberapa tanda keimanan

Sebagai sambungan kepada perbincangan yang lalu, saya mengajak pelajar-pelajar untuk menghayati beberapa tanda keimanan. Tujuannya untuk sama-sama muhasabah diri.

Iman itu ada banyak tandanya. Di antaranya dipetik dari satu ayat Allah SWT yang bermaksud: sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah orang yang apabila disebut nama Allah gementar hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat Allah kepada mereka, bertambahlah iman mereka.

Allah menunjukkan dua tanda penting, pertama gementar hati. Lalu dalam konteks kita pada hari ini, kita bukan sahaja mendengar orang menyebut Allah tetapi kita juga sama menyebutnya terutama dalam solat kita. Adakah kita merasai getaran apabila kita melafazkan takbiratul ihram.

Begitu juga apabila kita mendengar orang membaca al-Qur'an atau kita sendiri membacanya. Adakah kita merasa bahawa keimanan kita meningkat.

Hakikatnya sukar untuk kita merasa gementar bila mendengar nama Allah disebut, juga sukar untuk meningkat iman bila mendengar ayat-ayat Al…

KuLim 2 - Hampir

Kita biasa menyayangi orang yang hampir dengan kita. Semakin hampir dia dengan kita, semakin kasihlah kita kepadanya dan semakin selalu kita sebut-sebut namanya dan semakin mudah untuk kita tunaikan permintaannya. Contoh terdekat ialah betapa hampirnya anak-anak di hati ibubapa.

Begitu juga dengan Allah, Tuhan kita. Dia begitu hampir. "Apabila hambaKu bertanya tentang Aku, katakan sesunggunya Aku sangat hampir". Semuanya terpulang kepada seseorang hamba untuk menhgampirkan diri dengan Allah atau menjauhiNya.

Dalam kehidupan harian, orang yang cukup solatnya, menghampirkan dirinya dengan Allah sebanyak lima kali sehari. Bagaimana pula dengan selang waktu di antara solat dengan solat yang berikutnya? Adakah kita mengingati Allah?

Seorang hamba begitu berhajat kepada pertolongan Tuhannya. Dan Allah sentiasa melihat dan mendengar serta sudi menolong. Di mana dan bila sahaja kita tersedar dari ingatan terhadap yang lain, kembalilah mengingati Allah. Berbicaralah dengan Allah, mintal…

KuLim 1 - Syahadah

Untuk semester September yang baru bermula, saya diamanahkan untuk mengajar PSA420 dan FAR450. Hari pertama masuk kelas, saya lihat semua pelajar kelihatan bersemangat untuk menuntut ilmu. Saya membiasakan diri untuk berkenal-kenalan dengan semua pelajar pada hari pertama pengajaran. Dalam kelas PSA, seorang pelajar dengan penuh semangat menyatakan harapannya untuk memahami subjek ini sepenuhnya..... Semoga semangat ini berterusan.
Saya mengambil kesempatan untuk menyampaikan kuliah lima minit (KuLim) di awal kelas. Saya mengajukan persoalan syahadah kepada mereka. Betapa syahadah ini merupakan pintu untuk masuk ke dalam Islam. Ia merupakan satu penyaksian atau janji yang mengikat seseorang untuk hidup secara Islam dengan mengikut apa yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW. Dan syahadah boleh gugur apabila berlaku perlanggaran-perlanggaran terhadap perkara-perkara tertentu contohnya tidak yakin tentang hukum-hakam Allah SWT.
Semoga ia membuka lembaran baru kepada kehidupan saya dan pel…

Mengajar semula

Tengahari tadi mesyuarat fakulti diadakan. Diantara isinya ialah berkaitan dengan tugasan mengajar semester hadapan yang akan bermula minggu depan. Dua subjek ijazah dan dua subjek diploma sedang menunggu. Bila dicampur kedua-duanya = 28 jam. Dari September hingga November 2011 sebanyak 8 jam. Dari November 2011 hingga Januari 2012 sebanyak 28 jam. Dari Januari hingga Mac 2012 sebanyak 20 jam.
Namun bukan saya seorang sahaja yang mempunyai jadual begitu. Hampir semua ahli fakulti mencatatkan 24 hingga 28 jam waktu mengajar. Semoga Allah memberi kekuatan.

Kembalikan Ramadhan

Nabi pernah membayangkan betapa besarnya nilai Ramadhan, sehingga kalau kita tahu akan nilainya sudah tentu kita akan mengharapkan sepanjang tahun adalah Ramadhan.
Allah menawarkan rahmat, keampunan dan kebebasan dari api neraka di bulan Ramadhan. Kita bergegas memenuhkan saf-saf Terawih selama 29-30 malam. Di siang hari kita menahan diri dan menjadi manusia mulia.
Kini Ramadhan telah pergi. Apakah semangat Ramadhan juga turut pergi bersama Ramadhan. Atau ia masih tinggal untuk menjadi bekalan sepanjang 11 bulan yang akan datang.

Qauli dan Fi'li

Saya dan isteri tersenyum mendengar penjelasan seorang Ustaz dalam ceramahnya kepada orang kampung di sebuah masjid yang kami singgah untuk solat jamak zuhur dan asar.

“Solat itu ada rukun qauli dan fi’li. Jangan buat yang fi’li sahaja. Kalau sebut Allahu Akbar tu kena jelas lapan hurufnya. Kalau baca fatihah tu jangan baca dalam hati sahaja, bunyinya kena didengar oleh telinga sendiri.”

Apa yang menyebabkan kami ketawa? Bukan kerana kelakar atau lucu. Tetapi inilah perkara yang saya dan isteri selalu cakap pada anak-anak terutamanya anak lelaki saya. Kadang-kadang saya tengok dari mula hingga habis solat tidak kelihatanpun mulutnya komat-kamit membaca bacaan dalam solat. Padahal sebahagian dari bacaan dalam solat adalah rukun dalam solat. Saya fikir ini adalah perkara yang ‘common’ bagi anak-anak seusia anak kami.


Pada kami, ibubapa kena selalu tengok anak-anaknya solat. Betulkan mana yang patut.


Sekadar sedikit coretan di awal minggu. WaLlahu a'lam.

Kusuf, Khusuf atau Khusyu'

Image
"Sesungguhnya matahari dan bulan tidaklah menjadi gerhana disebabkan oleh kematian seseorang atau dihidupkan seseorang, tetapi kedua-duanya adalah termasuk tanda-tanda dari Allah. Oleh itu apabila kamu semua melihatnya maka dirikanlah solat": maksud hadis.
Gerhana matahari sebahagian atau penuh dikenali sebagai 'kusuf' manakala gerhana bulan sebahagian atau penuh di panggil 'khusuf'. Kadangkala kedua-duanya dipanggil 'khusuf'.
Kejadian khusuf atau gerhana tidak dikaitkan dengan mati atau hidupnya seseorang. Sebaliknya ia merupakan sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Allah SWT.
Melihat tanda-tanda kebesaran Allah SWT ini sepatutnya menjadikan kita gentar atau 'khusyu' dengan kekuasaan Allah SWT. Allah yang menciptakan kita dan seisi alam ini. Dialah pula yang mengatur perjalanannya. Dia tidak membiarkan manusia terkapai-kapai mencari panduan hidup lalu mengutuskan pada setiap umat rasul-rasul yang menjadi penunjuk jalan. Dialah juga yang maha m…

Gunung Ledang Lain

Image
Cuti sekolah baru-baru kami tak tidak bercuti ke mana-mana. Kakak yang telah masuk asrama pun lebih suka tinggal di rumah selain menghadiri kem motivasi KAHFI 2011 selama tiga hari. Abang yang sedikit merungut kerana tiada program khas untuknya. Adik pula asyik merengek nak tengok zirafah di Zoo Melaka. Saya pula sedikit sibuk berulang-alik ke Shah Alam berurusan dengan editor bahasa.

Namun kebosanan abang dan adik agak terubat juga sebab dapat mandi-manda di Gunung Ledang yang terletak lebih-kurang 20 km dari rumah kami. Kami pergi pada awal pagi hari pertama cuti sekolah. Pagi-pagi memang tak ramai orang dan kami boleh memilih lokasi yang kami mahu. Sebelum balik abang sempat 'sound', ayah! sebelum habis cuti kita mandi lagi ya. Saya hanya tersenyum.

Sebelum cuti berakhir, kami mahu membawa anak-anak ke Kolam Air Panas di Labis. Tapi hajat tidak kesampaian sebab ia hanya mula dibuka pada pukul dua petang sedangkan waktu itu baru pukul 9 pagi. Anak-anak mula kecewa. OKlah, kita…

IEEE

Image
Alhamdulillah, dua penyelidikan kami yang telah dibentangkan dalam CSSR 2010 kini boleh diakses di laman IEEE Xplore di sini dan di sini. Penyelidikan pertama adalah hasil kerjasama saya dan dua orang penyelia saya. Dalam penyelidikan kedua pula, saya membantu dua rakan penyelidik dari segi analisis dan interpretasi data. Semoga hasil kajian ini memberi manfaat kepada pembaca.

Mereka tidak tamak

Image
Mahasuci Allah, Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada pada keduanya. Dialah yang menciptakan manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Dialah juga yang menghidupkan dan mematikan. SubhanaLlah. Apabila kita melihat ciptaan Allah, maka kita akan rasa kebesaran Allah SWT.


Beberapa hari yang lepas, saya ternampak buah betik yang ranum di hadapan rumah saya. Bila saya hampiri, ada satu lubang kecil pada buah tersebut. Kemudian datang seekor burung murai atau tiong makan melalui lubang itu. Dia makan dua-tiga patuk kemudian pergi. Kemudian datang yang lain lalu melakukan perkara yang sama. Perkara ini berterusan hingga beberapa hari, buah tersebut masih belum habis dimakan. (Nota: gambar diambil dari hongkongwildlifephotos.blogspot.com kerana gambar sendiri tak jadi).


Saya berfikir sendirian, burung yang pertama menemui buah ini boleh makan dan menghabiskan buah tersebut tetapi tidak melakukan demikian. Burung kedua juga boleh makan dan habiskan buah betik tersebut tetapi ti…

Cahaya Islam di timur

Image
Minggu lepas, mendengar khutbah Jumaat tentang hikmah Tsunami yang melanda negara Jepun terhadap negara itu. Menurut khatib, tidak terdapat tanda-tanda yang mereka mengalami kemusnahan yang teruk berbanding di Acheh dan Sri Lanka. Namun menurut beliau, kemusnahan yang melanda hati mereka-mereka yang terlibat hanya Allah sahaja yang mengetahuinya.

Selama ini mereka yakin bahawa kamajuan yang diurus dengan baik, seperti bangunan yang dibina mengikut spesifikasi, kenderaan yang dicipta dengan ciri-ciri keselamatan dan sebagainya mampu menjaga kepentingan manusia. Namun, musibah tetap berlaku.
Mungkin musibah yang melanda membuka hati mereka yang terlibat untuk merasai adanya satu kuasa yang mencipta, menyusun dan mentadbir alam ini. Bila mereka mencari dan mencari mungkin mereka akan menemui kebesaran Allah SWT.
Tidak mustahil kalau mereka akan menemui kebenaran dan menjadi satu bangsa yang lebih mulia dari sekarang. Sekarang mereka dimuliakan kerana pencapaian mereka dalam teknologi. Siap…

Halaqah keluarga - Adab

Image
Adab sudah lama tidak diajar di sekolah. Ia digantikan dengan akhlak yang lebih tinggi nilai ilmunya namun belum tentu nilai praktiknya dalam hidup anak-anak. Saya ingat lagi masa sekolah agama dahulu, antara matapelajaran pertama yang diajar di sekolah ialah adab. Kitabnya tidak tebal tetapi mengandungi asas-asas menjaga hubungan dengan Allah, ibubapa dan orang di sekeliling.

Di rumah, ibubapa menyambung ajaran guru di sekolah. Kata-kata seperti "jangan lalu di hadapan orang tua, jangan menyampuk cakap orang tua....", selalu diungkapkan oleh ibubapa untuk memastikan anak-anak mempunyai adab dan ada segan silu.


Bila mempunyai anak-anak sendiri, kitab-kitab ini tidak lagi ada di pasaran. Nak jumpa gambarnya pun sukar. Nota: Gambar di atas saya ambil dari blog limatahun.blogspot.com). Pencarian kitab-kitab seperti ini memang sukar. Masuk dan keluar kedai pun belum tentu jumpa. Namun hati masih ingin mencari.

Pencarian menemui satu set buku yang agak baru bertajuk Adab Muslim Sir…

Masjid An-Naim

Image
Masjid An-Naim, Kampung Jalan Kebun. Saya sering singgah di masjid ini bila saya menghantar, mengambil atau menziarahi anak saya di asrama. Saya difahamkan oleh jemaah di situ yang masjid ini bertambah makmur dan meriah sejak tiga tahun lalu.


Semalam, saya bersolat Jumaat di sini. Masjid penuh dan sepertiga dari jemaahnya adalah pelajar-pelajar sekolah. Mula-mula masuk sekumpulan pelajar tahfiz berjubah putih dan berserban atau berkopiah putih. Selepas solat sunat, mereka mengambil naskah al-qur'an dan membacanya.


Kemudiian, muncul pula pelajar-pelajar berjubah kelabu dan berkopiah masuk ke masjid dan duduk berkelompok bersama seorang guru yang berpakaian sama, mungkin dari sekolah pondok. Selepas itu muncul pula pelajar-pelajar berbaju hijau muda dan berkopiah atau bersongokok. Salah seorang darinya menyapa dan bersalam dengan saya. Mereka pun duduk bersama kelompok mereka. Kesemua pemuda ini tidak bising atau bersembang-sembang sebagaimana yang saya temui di tempat lain.


Hati saya …

Halaqah keluarga - langit terbelah

Image
Fenomena langit terbelah pernah berlaku di Kangar, Perlis pada bulan Mac 2010. Peristiwa yang hampir sama muncul pula di Kota Jokjakarta pada bulan April 2010. Kemudian langit umpama terbakar di Papua New Guinea pada Ogos 2010. Kedua-dua gambar ini dipetik dari blog kangdii.blogspot.com.


Namun ketiga-tiga peristiwa tersebut bukanlah kejadian sebenar sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah dalam surah al-insyiqoq yang menceritakan pada hari Kiamat langit akan terbelah sebagai tanda tunduk dan patuh kepada Allah SWT. Bumi pula akan diratakan sehingga segala isi yang terkandung di dalamnya akan dimuntahkan keluar.

Saya mengajak anak-anak untuk membayangkan betapa dahsyatnya keadaan ketika Kiamat berlaku. Langit yang tujuh lapis itu terbelah dan pasti runtuh, bagaimana pula segala isi langit - bulan, bintang, matahari. Bayangkan pula bumi yang selama ini bulat diratakan, apa yang akan berlaku kepada benda-benda di atasnya dan juga di dalamnya? Pada ketika itu manusia yang telah meninggal ak…

Cukup keraskah kepala mereka?

Image
Agak kasar tajuk entri ini. Tapi percayalah entri ini ditulis dalam keadaan tenang dan sabar.
Pagi tadi, seperti biasa saya menghantar anak ke sekolah hingga ke Gemereh. Saya memandu tidak laju dan bukan mengejar masa. Sampai di Simpang Kampung Bukit Tunggal, tiba-tiba sebuah motosikal yang dinaiki oleh dua pelajar sekolah melintas dan memperlahankan kenderaan, kemudian mereka memecut dan memotong dari arah kiri sambil beberapa kali menoleh ke belakang - mungkin ingin melihat respon saya. Astaghfirullahal'azim, saya beristighfar dalam hati, apa yang mereka nak tunjukkan sebenarnya?
Sepanjang jalan hingga sampai ke Gemereh, saya berfikir, apakah anak-anak muda ini kurang kasih sayang dan inginkan perhatian seperti budak-budak kecil. Ataupun mereka merasa bahawa tubuh badan mereka cukup sasa hingga tidak takut sekiranya jatuh akan tercedera atau terluka.
Wahai anak-anak muda, jalanraya bukanlah satu tempat untuk bersukaria. Sebaliknya ia adalah tempat yang popular di mana 'malaika…

Ziarah ibu, ayah dan adik

Image
Pagi tadi, saya sempat menziarah pusara ibu, ayah dan adik bongsu saya. Mereka telah mendahului kami menemui Allah SWT. Ayah meninggal dunia pada tahun 1977 ketika saya dalam darjah satu dan adik bongsu saya baru berusia 80 hari. Mulai saat itu ibu dan abang membesarkan kami yang masih di bawah umur. 23 tahun sesudah itu adik bongsu kami kembali kerahmatullah pada tahun 2000. Sejak itu ibu selalu tidak sihat hinggalah Allah menjemputnya kembali pada malam 28 Januari 2011.

Kini tiada lagi bakti yang saya boleh berikan kepada ayah dan ibu selain dari menziarah pusara mereka, mendoakan mereka dan berbuat baik kepada orang-orang yang mereka sayang.
Setiap yang hidup pasti akan menemui kematian. Setiap kita sedang menunggu giliran. Apakah persiapan kita untuk menuju alam yang abadi itu?

Mereka budak pandai

Image
Mereka budak-budak pandai. Masa saya mengajar mereka di peringkat ijazah dulupun saya dapat rasa mereka akan sambung belajar ke peringkat yang lebih tinggi. Kebetulan mereka berkongsi nama yang sama - Farhan, Nurfarahana dan Ili Farhana. Baru-baru ini mereka menghubungi saya menyatakan hasrat untuk melanjutkan pengajian. Hari ini dua dari mereka meminta saya menjadi referee permohonan melanjutkan pengajian. Saya doakan mereka berjaya dipilih sebagai pelajar, seterusnya berjaya dengan cemerlang dalam pengajian mereka.

Halaqah keluarga - iman kepada hari akhirat

Image
Adakah saya mempunyai alasan di hadapan Allah nanti sekiranya anak-anak menuntut hak mereka untuk dididik dengan didikan iman dan Islam. Malam ni, saya mengajak isteri dan anak-anak untuk berhalaqah selepas solat maghrib berjemaah. Saya membacakan sebuah hadis qudsi yang menyentuh tentang firman Allah kepada Nabi Daud a.s.


"Allah telah mewahyukan kepada Daud a.s.: Kelak pada hari Qiamat akan ada seorang hamba menghadapKu dengan membawa amal kebajikan tertentu, maka Aku serahkan segala nikmat syurga kepadanya. Daud berkata: Ya Rabbi, siapakah hamba itu? Allah menjawab: "iaitu orang mukmin yang berusaha memenuhi keperluan saudaranya yang mukmin, sama ada dia berjaya memenuhinya atau tidak."


Saya tidak mampu untuk menghuraikan pengertian hadis ini. Namun saya mengajak anak anak untuk meyakini bahawa ada hubungan di antara kelakuan atau amalan kita di dunia dengan kehidupan di akhirat nanti. Apabila kita melakukan amalan yang baik di dunia, maka Allah akan balas kebaikan kit…