Wednesday, November 25, 2009

Halaqah keluarga

Kami dah lama tak buat halaqah keluarga. Lebih tepat lagi sejak sebelum kedatangan Ramadhan yang lalu. Dalam bulan Ramadhan kami menyesuaikan program keluarga dengan program yang telah disusun oleh Allah sendiri iaitu program puasa, terawih dan tadarus.

Semalam, kami telah berkesempatan untuk memulakan semula halaqah keluarga. Saya menjadi pengerusi merangkap penyampai tazkirah. Anak-anak ni bukan boleh duduk bersila lama-lama. Paling lama lima belas minit. Jadi masa yang ada selepas solat maghrib berjemaah saya gunakan sepenuhnya sementara anak-anak masih boleh duduk diam.

Halaqah dimulakan dengan al-Fatihah, puji-pujian kepada Allah dan selawat kepada Nabi dan salam kepada sahabat-sahabat baginda. Saya menerangkan kepada anak-anak tentang tujuan manusia diciptakan. Saya membacakan ayat 56 surah al-zariyat seperti di bawah: َ


وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

yang bermaksud: dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembahKu. Kemudian saya membacakan pula ayat 30 dari surah al-Baqarah berikut:


وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً

yang bermaksud: dan ingatlah ketika Tuhanmu berkata kepada para malaikat, sesungguhnya Aku menjadikah (manusia) di atas bumi sebagai khalifah.

Jadi berdasarkan dua ayat tersebut Allah telah menetapkan tujuan manusia diciptakan untuk memenuhi tuntutan sebagai hamba iaitu patuh dan tunduk kepada segala perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya. Pada masa yang sama manusia juga dilantik sebagai wakil Allah (khalifah) yang perlu berperanan untuk memakmurkan bumi ini.

Sebagai pengisian kepada halaqah semalam, saya membincangkan tentang ayat 2 surah al-Hadid yang menjelaskan tentang kekuasaan Allah SWT ke atas setiap sesuatu.


لَهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۖ يُحْيِي وَيُمِيتُ ۖ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

bermaksud: kepunyaan Allahlah kerajaan di langit dan di bumi, Dialah yang menghidupkan dan mematikan, dan Dialah yang berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Saya menjelaskan kepada anak-anak tidak ada satu tempatpun di atas muka bumi ini yang terlepas daripada kekuasaan Allah SWT. Apa saja yang di langit - bulan, bintang, planet bahkan seluruh cakerawala ini dicipta dan dikuasai oleh Allah SWT. Begitu juga apa yang ada di bumi. Kalaupun kita memiliki kekuasaan di bumi - jadi ketua atau pemimpin, atau memiliki harta yang banyak, penguasa dan pemilik mutlaknya ialah Allah. Jadi kita perlu merasai yang Allah sedang mengawasi kita. Kita ni hanya wakil Allah yang perlu adil dalam menjaga kebajikan orang yang di bawah kita. Pada masa yang sama kita perlu sentiasa patuh pada suruhan dan larangan Allah.

Hmm... belumpun habis 15 minit anak-anak dah mula bermain. Namun saya yakin anak-anak boleh menyerap apa yang mereka dengar dan lihat sambil bermain. Yang penting mereka dapat pengisian yang berterusan. Kami tutup program halaqah kami dengan tasbih kifarah dan surah al-'Asr.

Tuesday, November 24, 2009

Hari raya korban

Sempena 10 Zulhijah yang bakal menjelang, saya dan keluarga ingin mengucapkan selamat menyambut hari raya aidil adha @ korban @ haji @ besar kepada semua pengunjung blog ini.
Marilah kita ingati pengorbanan bapa kita Nabi Ibrahim, isterinya Siti Hajar dan anaknya Nabi Ismail dalam mentaati perintah Allah SWT.
Marilah kita ingati pengorbanan Nabi, para sahabat, para tabiin, para tabiut tabiin, para ulama' dan pendakwah dalam membawa dan menyampaikan risalah Islam kepada umat manusia hingga ajaran Islam sampai kepada kita pada hari ini.
Marilah kita kenangi dan hargai pengorbanan ibu dan ayah kita yang telah mengandung, melahir dan membesarkan kita dengan didikan dan kasih sayang.
Marilah kita hargai pengorbanan para guru dan orang-orang yang pernah berjasa kepada kita. Marilah kita hargai pengorbanan isteri dan anak-anak kita.
Marilah kita contohi mereka. Marilah kita korbankan sebahagian dari harta kita, masa kita, tenaga kita untuk mereka yang memerlukan - di Palestin, Padang, Kemboja dan lain-lain.

Thursday, November 12, 2009

Pokok herba keliling rumah

Assalamualaikum!. Assalamualaikum Pakcik!. Assalamualaikum!. Saya dikejutkan dengan panggilan salam selesai makan malam semalam. Waalaikumussalam! Kelihatan tercegat seorang lelaki dan perempuan muda di depan pitu pagar rumah. Ada apa ya? Kami nak minta daun jambu Pakcik untuk buat ubat. Oh masuklah. Ambiklah banyak mana yang diperlukan. Tadi kata nak buat ubat, ubat apa ye? Oh! pucuk jambu ni untuk mengubat orang tua kami kena strok - lumpuh sebelah badan. Caranya, ramas-ramas pucuk jambu tu campur dengan minyak tanah, kemudian sapukan dekat bahagian badan yang lumpuh. Kemudian mereka beredar.

**********

Saya tidak mempunyai tanah yang luas. Yang ada hanyalah tanah di tepi rumah yang berukuran lebih kurang 70' x 16' x 25'. Saya lahir dan membesar di kampung. Jadi, walaupun tinggal di taman, saya ingin sekali menanam beberapa batang pokok di depan dan sebelah rumah.
Antara pokok-pokok yang ada ialah sebatang pokok rambutan budak sekolah - pernah berbuah sekali. Dua batang pokok mangga, satu cokanang dan satu lagi tak tau nama. Yang cokanang tu berbuah setiap tahun manakala yang tak tahu nama tu dah merajuk sebab saya buang dahannya.

Ada juga sebatang pokok longan dan pulasan yang pertama kali berbuah setangkai. Ada pokok limau manis dan manggis yang belum pernah berbuah. Ada beberapa batang pokok pisang raja yang sedang mengeluarkan jantung. Sebatang pokok kelapa yang lebat buahnya. Sebatang pokok betik yang berbuah dua-tiga biji setahun. Sebatang pokok jambu merah yang berbuah sepanjang tahun. Hmm.. banyaknya pokok.
Ada lagi, pokok limau purut - daunnya untuk masak tomyam, buahnya boleh buat ubat (saya tak tahu - ada orang pernah minta). Pokok limau nipis belum pernah berbuah. Pokok sireh pula untuk dimakan (kalau sanggup) dan dibuat ubat resdung - menjalar di pagar belakang rumah. Pokok akar patawali (brotowali - dalam bahasa Jawa) juga menjalar di sepanjang pagar belakang rumah - orang kampung kata boleh jadi ubat mengurangkan kencing manis. Ada juga serumpun pokok tebu hitam yang juga boleh dibuat ubat (ada orang pernah minta). Pokok-pokok ini adalah untuk kegunaan sendiri dan juga jiran-jiran yang memerlukan. Semoga ada faedahnya.

********
Isteri saya selalu bising tentang pokok-pokok ni: Abang! kita ni kan duduk taman kenapa la abang tanam banyak sangat pokok. Tengok sampah daun banyak, berselerak lah rumah kita. Saya hanya diam saja. Saya faham kenapa dia bising...sebab dia yang kena bersihkan daun-daun kering tu...hehe.

Wednesday, November 4, 2009

Dua jenis pendakwah

Saya tersenyum bila membaca sebuah blog yang di tulis oleh seorang rakan maya di sini. Beliau secara tidak langsung membincangkan tentang dua jenis pendakwah. Jenis pertama ialah pendakwah yang digelarkan sebagai Kiyai Ceret (nota: cerek). Kenapa pendakwah ini digelarkan dengan cerek? Kerana sifatnya yang sentiasa berjalan di atas muka bumi Allah untuk menyampaikan seruan dakwahnya. Beliau akan mencari-cari siapakan yang akan diserunya untuk disampaikan dan diajarkannya dengan didikan dan ajaran Islam. Beliau seumpama sebuah cerek yang sentiasa bersedia menuangkan air ke cawan-cawan yang kosong iaitu orang-orang yang dahaga dengan ilmu dan kefahaman Islam.


Manakala jenis pendakwah yang kedua ialah Kiyai Gentong (nota: tempayan kecil untuk mengisi air). Kenapa pendakwah jenis ini dikatakan sebagai Kiyai Gentong? Kerana mereka ini biasanya mempunyai tempat mengajar (pondok atau pesantren) dan banyak pula ilmunya dan orang sentiasa datang untuk menuntut ilmu atau mengharap didikan agama darinya. Keadaannya umpama sebuah tempayan yang penuh dengan air lalu sentiasa memberi peluang untuk orang lain mencedok air darinya.


Mari kita bertanya kepada diri. Kalau hanya ada dua jenis pendakwah ini sahaja, kita berada di kumpulan yang mana ya?