Buih


Lebih 1400 tahun dulu Nabi pernah menggambarkan dalam sebuah hadis bahawa di akhir zaman, umat Islam akan dikerumuni oleh musuh sebagaimana orang mengerumuni makanan dalam talam. Ia terjadi bukan kerana umat Islam itu sedikit, namun ramainya umat Islam hanya umpama buih di waktu banjir. Ketika itu tidak ada lagi rasa takut atau hormat orang bukan Islam kerana umat Islam telah dihinggapi oleh penyakit wahan iaitu cintakan dunia dan takutkan kematian.
Apakah zaman yang dimaksudkan oleh Nabi telah sampai?


Di seluruh pelusuk dunia, umat Islam dianggarkan berjumlah satu bilion. Di satu penjuru dunia, umat Islam diuji dengan kekayaan yang melimpah-limpah. Sebahagian dari mereka yang mensyukuri nikmat yang banyak itu akan membelanjakan harta mereka untuk kebajikan. Manakala sebahagian besar yang lain menaburkan harta kekayaan ke tempat-tempat yang tidak boleh memberi manfaat kepada diri dan orang lain sama ada di dunia ini atau di akhirat. Lihatlah bagaimana mereka ini menaburkan wang-wang mereka di kelab-kelab hiburan dan sebagainya untuk memenuhi hawa nafsu yang tidak pernah puas.


Di satu penjuru lain, umat Islam sedang menderita kelaparan dan menjadi pelarian seperti di Somalia. Sebahagian yang lain sedang ditindas dan dizalimi. Tidak kelihatan bantuan makanan, perubatan dan lain-lain dari saudara Islam yang kaya raya melainkan dari beberapa NGO.


Benarkah kita telah dijangkiti penyakit cinta dunia dan takut mati?


Kita menyangka bahawa cintakan dunia hanya berlaku kepada orang yang berharta sahaja. Oleh itu sebagai orang biasa-biasa ia bukan penyakit kita. Sebenarnya penyakit ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Orang kaya yang tidak dilalaikan oleh hartanya bukanlah orang yang cinta dunia. Manakala orang yang kaya atau miskin yang meletakkan dunia dalam hatinya dikira cintakan dunia.


Kita bukan sahaja takut untuk mengorbankan diri kita bagi membela nasib Islam dan umatnya. Bahkan kita juga takut untuk mengorbankan sebahagian dari harta, tenaga dan masa kita untuk membela agama dan umat. Inilah yang dikatakan takut mati.


MasyaAllah, inilah zaman yang telah disebutkan oleh Nabi lebih 1400 tahun dulu.

Comments

ct said…
Salam,
Bila umat islam tidak berhati-hati dalam pemakanan dan amalan, hati akan jadi gelap, jiwa akan lemah. Bila jiwa lemah senang la hati musuh2 Islam. Ingatan untuk diri saya jua.
Ya amalan dan pemakanan merupakan antara faktornya. Selebihnya umat Islam melihat nikmat atau ujian Allah dari perspektif peribadi dan bukan dari perspektif umat. Sebab itu kesengsaraan di Palestin dan Somalia tidak dianggap sebagai sebahagian dari ujian untuk kita. Peringatan untuk diri saya juga.
ct said…
Bermula dari tunas kita kena membina rasa empati kepada kensensaraan sahabat-sahabat segama, ia akan membesar dan membiak menjadi masyarakat yang sentiasa peka kepada persekitarannya. Berfikiran luas dan sentiasa cintakan agamanya. Terasa berat cabaran masa kini. Semoga kita tak lupa berdoa utk palastin dan umat Islam lainnya.
CT, terima kasih kerana berkunjung dan berkongsi pendapat yang bernas.
ct said…
Saya hanya insan kerdil yang banyak kekurangan, cuma ingin berkongsi sedikit pendapat. Doa saya semoga ada ramai lagi insan seperti Halim yang membuka ruang untuk teman-teman mendapat maklumat yang berguna dan sentiasa ada rasa bertanggungjawab.

Popular posts from this blog

Wau bulan

Empat tahiyat?

PhD - Apa selepas PhD?