Pokok herba keliling rumah

Assalamualaikum!. Assalamualaikum Pakcik!. Assalamualaikum!. Saya dikejutkan dengan panggilan salam selesai makan malam semalam. Waalaikumussalam! Kelihatan tercegat seorang lelaki dan perempuan muda di depan pitu pagar rumah. Ada apa ya? Kami nak minta daun jambu Pakcik untuk buat ubat. Oh masuklah. Ambiklah banyak mana yang diperlukan. Tadi kata nak buat ubat, ubat apa ye? Oh! pucuk jambu ni untuk mengubat orang tua kami kena strok - lumpuh sebelah badan. Caranya, ramas-ramas pucuk jambu tu campur dengan minyak tanah, kemudian sapukan dekat bahagian badan yang lumpuh. Kemudian mereka beredar.

**********

Saya tidak mempunyai tanah yang luas. Yang ada hanyalah tanah di tepi rumah yang berukuran lebih kurang 70' x 16' x 25'. Saya lahir dan membesar di kampung. Jadi, walaupun tinggal di taman, saya ingin sekali menanam beberapa batang pokok di depan dan sebelah rumah.
Antara pokok-pokok yang ada ialah sebatang pokok rambutan budak sekolah - pernah berbuah sekali. Dua batang pokok mangga, satu cokanang dan satu lagi tak tau nama. Yang cokanang tu berbuah setiap tahun manakala yang tak tahu nama tu dah merajuk sebab saya buang dahannya.

Ada juga sebatang pokok longan dan pulasan yang pertama kali berbuah setangkai. Ada pokok limau manis dan manggis yang belum pernah berbuah. Ada beberapa batang pokok pisang raja yang sedang mengeluarkan jantung. Sebatang pokok kelapa yang lebat buahnya. Sebatang pokok betik yang berbuah dua-tiga biji setahun. Sebatang pokok jambu merah yang berbuah sepanjang tahun. Hmm.. banyaknya pokok.
Ada lagi, pokok limau purut - daunnya untuk masak tomyam, buahnya boleh buat ubat (saya tak tahu - ada orang pernah minta). Pokok limau nipis belum pernah berbuah. Pokok sireh pula untuk dimakan (kalau sanggup) dan dibuat ubat resdung - menjalar di pagar belakang rumah. Pokok akar patawali (brotowali - dalam bahasa Jawa) juga menjalar di sepanjang pagar belakang rumah - orang kampung kata boleh jadi ubat mengurangkan kencing manis. Ada juga serumpun pokok tebu hitam yang juga boleh dibuat ubat (ada orang pernah minta). Pokok-pokok ini adalah untuk kegunaan sendiri dan juga jiran-jiran yang memerlukan. Semoga ada faedahnya.

********
Isteri saya selalu bising tentang pokok-pokok ni: Abang! kita ni kan duduk taman kenapa la abang tanam banyak sangat pokok. Tengok sampah daun banyak, berselerak lah rumah kita. Saya hanya diam saja. Saya faham kenapa dia bising...sebab dia yang kena bersihkan daun-daun kering tu...hehe.

Comments

AbnormalSuam said…
kadang-kadang terfikir jugak, mengapa agaknya cendekiawan kita sangat kurang mengkaji kitab-kitab perubatan seperti Tajul Muluk yang terkandung di dalamnya penggunaan herba-herba yang sememangnya banyak terdapat di negara kita untuk tujuan perubatan. Sebaliknya kita lebih terikut-ikut dengan kajian menggunakan dadah sintetik untuk sebarang penyakit yang digelar perubatan moden.

Agak sedih juga apabila perubatan tradisi kaum Cina sudah mendapat tempat di hospital-hospital sebagai cara perubatan alternatif, sedangkan perubatan Melayu pula sekadar dikenali dengan hembus jampi dan jurus menjurus padahal tabib-tabib Melayu juga handal dalam mengenalpasti kegunaan herba-herba dan tumbuh-tumbuhan sebagai kaedah perubatan, seperti daun gelenggang, kunyit (kumkuma), lengkuas dan sebagainya...

Yang duk nampak sekarang ni cumalah, tongkat ali, ubijaga... itu pun nama ajer Melayu tetapi perusahaannya orang lain...
Salam Abnormal,

Hmm. Entahlah. Mungkin cendekiawan kita banyak yang lebih suka berpolitik dari mentelaah ilmu-ilmu yang ditinggalkan oleh datuk-nenek kita.
Adliff said…
Salam,

Ustaz Halim,

Saya juga suka menanam pokok dikeliling rumah ayah di kampung. Rumah sewa atas langit ha!ha!.

Saya cadangkan tanamlah pokok ulam raja. Mudah tumbuh. Sedap dimakan. Berkhasiat. Bunganya pun cantik.
Salam Aliff.

Nampaknya kita ada kegemaran yang agak sama. Ulam raja..boleh dipertimbangkan cadangan tu..terima kasih.

Popular posts from this blog

Wau bulan

Empat tahiyat?

PhD - Apa selepas PhD?