Halaqah keluarga

Kami dah lama tak buat halaqah keluarga. Lebih tepat lagi sejak sebelum kedatangan Ramadhan yang lalu. Dalam bulan Ramadhan kami menyesuaikan program keluarga dengan program yang telah disusun oleh Allah sendiri iaitu program puasa, terawih dan tadarus.

Semalam, kami telah berkesempatan untuk memulakan semula halaqah keluarga. Saya menjadi pengerusi merangkap penyampai tazkirah. Anak-anak ni bukan boleh duduk bersila lama-lama. Paling lama lima belas minit. Jadi masa yang ada selepas solat maghrib berjemaah saya gunakan sepenuhnya sementara anak-anak masih boleh duduk diam.

Halaqah dimulakan dengan al-Fatihah, puji-pujian kepada Allah dan selawat kepada Nabi dan salam kepada sahabat-sahabat baginda. Saya menerangkan kepada anak-anak tentang tujuan manusia diciptakan. Saya membacakan ayat 56 surah al-zariyat seperti di bawah: َ


وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

yang bermaksud: dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembahKu. Kemudian saya membacakan pula ayat 30 dari surah al-Baqarah berikut:


وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً

yang bermaksud: dan ingatlah ketika Tuhanmu berkata kepada para malaikat, sesungguhnya Aku menjadikah (manusia) di atas bumi sebagai khalifah.

Jadi berdasarkan dua ayat tersebut Allah telah menetapkan tujuan manusia diciptakan untuk memenuhi tuntutan sebagai hamba iaitu patuh dan tunduk kepada segala perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya. Pada masa yang sama manusia juga dilantik sebagai wakil Allah (khalifah) yang perlu berperanan untuk memakmurkan bumi ini.

Sebagai pengisian kepada halaqah semalam, saya membincangkan tentang ayat 2 surah al-Hadid yang menjelaskan tentang kekuasaan Allah SWT ke atas setiap sesuatu.


لَهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۖ يُحْيِي وَيُمِيتُ ۖ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

bermaksud: kepunyaan Allahlah kerajaan di langit dan di bumi, Dialah yang menghidupkan dan mematikan, dan Dialah yang berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Saya menjelaskan kepada anak-anak tidak ada satu tempatpun di atas muka bumi ini yang terlepas daripada kekuasaan Allah SWT. Apa saja yang di langit - bulan, bintang, planet bahkan seluruh cakerawala ini dicipta dan dikuasai oleh Allah SWT. Begitu juga apa yang ada di bumi. Kalaupun kita memiliki kekuasaan di bumi - jadi ketua atau pemimpin, atau memiliki harta yang banyak, penguasa dan pemilik mutlaknya ialah Allah. Jadi kita perlu merasai yang Allah sedang mengawasi kita. Kita ni hanya wakil Allah yang perlu adil dalam menjaga kebajikan orang yang di bawah kita. Pada masa yang sama kita perlu sentiasa patuh pada suruhan dan larangan Allah.

Hmm... belumpun habis 15 minit anak-anak dah mula bermain. Namun saya yakin anak-anak boleh menyerap apa yang mereka dengar dan lihat sambil bermain. Yang penting mereka dapat pengisian yang berterusan. Kami tutup program halaqah kami dengan tasbih kifarah dan surah al-'Asr.

Comments

Khairul said…
Salam En. Halim
Bagus sungguh. Saya terasa berada di situ.
Salam Khairul,

Saya pun tengah belajar buat halaqah ni. Khairul pun tentu boleh buat.
Adliff said…
Salam,

Ustaz Halim,

Bagusnya!Bagaikan terasa berada di situ juga. Dulu ayahanda saya sering menasihati anak-anak selepas beliau usai solat maghrib juga.
Salam Aliff,

Dahulu saya tidak berkesempatan bermanja dengan ayah kerana dia telah kembali menemui Allah ketika saya tujuh tahun. Namun saya gembira kerana dapat berdamping dengan guru-guru yang sering berhalaqah dengan kami.

Popular posts from this blog

Wau bulan

Empat tahiyat?

PhD - Apa selepas PhD?