Masam manis perjalanan PhD - 2

Saya memerhati dan menghitung keadaan di Fakulti. Ketika itu ada lebih kurang 40 orang pensyarah yang telah bergelar Dr. Dalam masa yang terdekat ketika itu, beberapa orang lagi Dr baru akan kembali dan angka itu bergerak laju. Tetapi bilangan Dr lelaki sangat kurang. Saya tidak bias terhadap gender. Namun begitu saya fikir suara lelaki perlu ada kalaupun tidak boleh berkumandang dengan kuat di Fakulti. Saya fikir inilah yang saya akan jadikan sebagai cabaran. Ini satu amanah. Saya perlu teruskan. Saya perlu ada PhD. Namun saya kena berbincang dengan isteri tersayang. Ini bukanlah cita-cita peribadi, tetapi cita-cita bersama.

Mula-mulanya isteri saya agak terkejut, saya tak pernah sebut nak buat PhD. Setelah saya jelaskan kepadanya, maka beliaupun berkata: kalau abang fikir ia baik untuk kita maka saya dan anak-anak akan memberi sokongan. Saya telah membulatkan tekad untuk memohon biasiswa PhD.

********************************

Saya membelek-belek contoh proposal yang dipinjamkan. Sukar juga rasanya nak mula menulis proposal. Bidang yang hendak dikaji juga belum dapat ditentukan. Saya melihat ke dalam diri, apakah bidang yang saya akan kaji: Accounting Education, Islamic Accounting atau Financial Reporting? Kajian kecil-kecilan saya sebelum-sebelum ini berkaitan dengan Accounting Education - mampukan saya? Rasa-rasa terlalu banyak teori pendidikan yang perlu dipelajari - saya ketepikan. Islamic Accounting? Saya memang minat dengan bidang ini dan pernah membuat kertas kerja semasa Ijazah pertama dahulu, cukupkan dengan minat mendalam? saya tangguhkan bidang ini hingga selesai PhD esok. Keputusannya, saya memilih Financial Reporting - ia merupakan bidang yang saya ajar selama 10 tahun.

Selepas pemilihan bidang, kena pilih topik pula. Selepas pilih topik barulah pilih tajuk penyelidikan. Artikel demi artikel dimuat-turun atau dicetak, dibaca sekali lalu, dicari permasalahannya, penyelesaiannya dan cadangan kajian masa depan - akhirnya proposal untuk biasiswa diberi tajuk The effect of adoption of IFRS on accounting quality.

Nota: IFRS ialah International Financial Reporting Standards

[bersambung]

Comments

Popular posts from this blog

Wau bulan

Empat tahiyat?

PhD - Apa selepas PhD?