Masam manis perjalanan PhD - 3

Alhamdulillah, Allah selalu mempermudahkan urusan saya dalam menuntut ilmu. Allah juga mempermudahkan saya untuk memilih penyelia. Semasa ditemuduga oleh Dekan dan pasukan temuduga di Fakulti, saya nayatakan kepada Dekan bahawa saya nak tinggal di Segamat walaupun dapat sambung buat PhD. Lalu saya kena cari seorang penyelia di UiTM Segamat supaya saya kekal di Segamat.

Pada penghujung 2007, pentadbiran UiTM Johor bertukar tangan dan Prof Kamil menjadi Pengarah. Bidang kepakaran beliau pula ialah Financial Reporting. Saya berdoa kepada Allah supaya beliau mahu menjadi penyelia saya. Saya memberanikan diri untuk mendapatkan persetujuan beliau untuk menjadi penyelia. [Nota:Saya pernah menceritakan tentang pertemuan pertama di sini].

Pertemuan pertama untuk mendapat persetujuan memilih beliau sebagai penyelia utama dan Prof Rozainun sebagai penyelia bersama. Beliau menyatakan kepada saya bahawa beliau dah ada lapan orang pelajar dibawah seliaan beliau. Saya katakan pada beliau, saya jadi pelajar ke sembilan pun tak apa. Akhirnya saya jadi pelajar PhD bongsu beliau di UiTM.

Prof Rozainun pun asalnya agak keberatan untuk menerima saya sebagai pelajar, sebab bidang kajian saya agak berbeza dengan kepakaran beliau. Saya yakinkan beliau (saya rasa) bahawa beliau orang yang saya yakini dapat membantu saya menyempurnakan kajian saya. Saya katakan pada beliau bahawa kajian saya sedikit sebanyak menggabungkan elemen financial reporting dan management accounting iaitu bidang beliau. Lalu selesailah urusan pemilihan penyelia.

Saya cukup selesa bekerja di bawah seliaan mereka. Dengan penyelia utama saya boleh jumpa beliau di mana-mana: di pejabat, rumah mahupun di mesjid. Waktu pula terpulang kepada kelapangan beliau. Ada kalanya setengah jam sebelum waktu pejabat, waktu pejabat, selepas maghrib, selepas isyak mahupun selepas subuh. Perbincangan tentang pengajian biasanya tidak lama, yang lama ialah perbincangan tentang akhirat [saya suka dengan keadaan ini]. Beliau pernah menyebut tentang ini di sini. Perbincangan tentang PhD biasanya berkait dengan perkembangan dan isu-isu yang timbul dalam kajian. Kalau orang bertanya bagaimana caranya Prof Kamil menyelia? Saya akan katakan, beliau benar-benar seorang Professor - beliau mendidik pelajar supaya berdikari, dan yang paling utama beliau tahu bila seorang pelajar perlu berhenti menulis dan menghantar tesis. Dan yang paling penting, beliau selalu mengingatkan semua pelajarnya supaya sentiasa menghubungkan diri kepada Allah SWT setiap masa dan dalam setiap perkara. Terima kasih Prof.

Saya juga selesa bekerja di bawah seliaan Prof Rozainun. Beliau bersifat keibuan. Ada juga rakan sepengajian yang menggelarkan beliau kakak saya. Perbincangan dengan beliau biasanya spesifik dan agak detail. Contohnya, perbincangan mengenai statement of problem mengambil masa hampir dua jam dengan input dari kedua-dua pihak hingga beliau berpuashati. Seingat saya, disebabkan kesibukan urusan pentadbiran beliau pernah dua kali bercuti untuk memberi ruang masa kepada saya, pertama untuk membaca draf tesis saya dan kedua semasa VIVA saya. Terima kasih Prof.

Alhamdulillah dengan izin Allah dan bantuan dua Professor ini, kami telah menghasilkan satu tesis PhD, tiga penyelidikan dan satu inovasi.

Alhamdulillah, sepanjang pengajian saya tidak pernah dimarahi oleh kedua-dua penyelia saya. Semua penyeliaan berjalan dengan penuh rasa hormat-menghormati. Semoga Allah memberkati kehidupan mereka berdua serta keluarga mereka. Amin.

Comments

Popular posts from this blog

Wau bulan

Empat tahiyat?

PhD - Apa selepas PhD?