Masam manis perjalanan PhD - Kehidupan baru

Sejak mendaftar diri pada 21 Jun 2008, bermulalah kehidupan baru saya sebagai seorang pelajar. Orang kata, di sebalik kejayaan seorang lelaki, pasti ada seorang wanita di belakangnya. Saya tidak terkecuali. Isteri saya banyak membantu memudahkan urusan keluarga dan anak-anak semasa saya tiada di Segamat.

"Ayah kalau nak pergi ke Shah Alam pergilah bila-bila pun, hal-hal kat rumah biar Umi yang uruskan", itulah kata isteri saya.

Memang boleh dikatakan separuh dari kehidupan saya semasa semester pertama adalah di Shah Alam. Pada Sabtu dan Ahad saya kena menghadiri kelas-kelas Research Methodology yang dianjurkan oleh IPSis, manakala pada pertengahan minggu pula ada seminar, talk dan lain-lain oleh Professor pelawat di Fakulti.

Apa kata isteri saya dalam hal ini?

Di awal tahun pertama pengajian, kami menggunakan Kancil lama sebagai kereta kedua. Ia cukup menguji. Setiap kali suami ke Shah Alam, ada-ada sahaja ragamnya - meter perbatuan tidak bergerak, tangki air sering kering, bunyi pelik selepas setiap perjalanan jauh, dll. Mungkin juga ia terkena aura saya yang "takut-takut dan bimbang" setiap kali menguruskan rumah dan anak-anak sendirian.

Suami saya juga bimbang setiap kali dia ke Shah Alam. Kami berbincang. Selepas memikirkan buruk dan baik, serta menyemak semula komitmen kewangan kami, akhirnya kami tukarkan Kancil lama kepada Kancil baru. Tiada lagi ragam kereta. Walaupun ia sebuah kereta kecil dari segi nilai dan saiznya, tapi ia besar kesannya untuk kami. Alhamdulillah. Walaupun saya surirumah sepenuh masa, suami saya tidak pernah membebankan saya dengan urusan sekolah anak-anak. Dia yang mengambil tanggungjawab menghantar dan menjemput anak-anak. Bantuan hanya akan diminta jika dia benar-benar tidak dapat memenuhi tanggungjawab tersebut.

Menghampiri tahun ketiga pengajian, saya selalu mendesak suami menghabiskan PhDnya 'on time'. Bukan tidak sudi lagi untuk menjadi penyokongnya, tetapi ia disebabkan ada tanggungjawab lain yang mesti dilaksanakan sebaik mungkin. Ini ditambah lagi dengan anak sulung kami yang telah memasuki tingkatan satu dan tinggal di asrama. Setiap dua minggu kami melawatnya atau membawanya pulang berhujung minggu di rumah.

Saya dapat rasa beratnya apa yang sedang suami saya lalui terutama enam bulan terakhirnya. Adakalanya berjam-jam dia menghadap komputer atau membaca, tetapi adakalanya dia juga menyibukkan diri dengan membersihkan halaman rumah atau dengan anak-anak kucing - satu cara untuk dia mengurangkan tekanan barangkali. Sebaik-baik tempat mengadu adalah kepada-Nya.

Idea penulisannya juga tidak tentu masa. Selalu juga saya menjadi tukang tulis ideanya yang keluar sewaktu kami di dalam perjalanan. Adakalanya suami juga 'memaksa' saya duduk dan mendengar apa yang sedang dikajinya dan apa dapatan dari kajiannya. Mujurlah saya juga belajar 'accounting' sewaktu di UiTM dulu, sedikit sebanyak bolehlah saya 'respond' kepada apa yang suami sampaikan.

Tarikh 27/10/11, lebih kurang pukul 4.05 petang, dengan suara sebak di hujung talian, suami berkata, "Tesis ayah diterima dengan 'minor corrections' ". Apa lagi yang boleh saya buat ketika itu selain daripada bersujud syukur serta memuji-muji-Nya. Sesungguhnya tiada siapa yang lebih berhak untuk dipuji selain daripada-Nya. Alhamdulillah.

PhD bukan segala-galanya, tetapi ia memberi satu pengalaman untuk kami sekeluarga. Jika ada pun masamnya pengalaman itu, ia bertukar menjadi manis sebaik sahaja pengajian itu berakhir. Pencarian ilmu itu pula tidak berhenti di situ. Ia berlaku di sepanjang perjalanan hidup kita sehingga kita dipanggil pulang menemui-Nya.

Pujian hanya untuk-Mu, ya Allah, yang memudahkan perjalanan pengajian ini. Subhaanallah.

Comments

Anonymous said…
Assalamualaikum Dr Halim

Jujur sekali luahan hati ummijah..terkesan di hati saya..semoga kalian sekeluarga sentiasa di bawah kasih sayang Allah.

Noraini Ismail
pakcikjam said…
Salam,

Tahniah Dr Halim, Alhamdulillah.
Dan Allah SWT juga telah mengurniakan pendokong tuan yang sangat membantu, alhamdulillah.
Alhamdulillah. Terima kasih Puan Noraini dan Pakcikjam. Semoga Allah memberkati kehidupan Puan dan Tuan.

Popular posts from this blog

Wau bulan

Empat tahiyat?

PhD - Apa selepas PhD?