Encik atau Ustaz

Saya tak mahu komen tentang dialog di atas. Namun kisah yang dipaparkan ini ada juga kena mengenanya dengan kehidupan saya. Saya kerap kali dipanggil ustaz oleh sama ada pelajar, rakan setempat kerja mahupun masyarakat di sekeliling kehidupan saya walaupun saya tak pernah memperkenalkan diri sebagai ustaz.
Seorang staf telah memanggil saya sebagai ustaz sejak sekian lama. Kemudian dia terdengar seseorang memanggil saya encik. Beliau bertanya: jadi encik bukan ustaz? Bukan, selama ini saya tidak menafikan takut akak kecil hati: jawab saya.
Suatu hari saya bermusafir dengan seorang rakan sefakulti. Di dalam kenderaan ada juga staf lain yang selalu hanya angkat tangan sahaja. Dia bertanya: ustaz nak ke mana? Saya nak ke bengkel perakaunan di Shah Alam. Bengkel perakaunan?: balasnya. Rakan sefakulti tersebut kelihatan terkejut dengan panggilan ustaz.
Suatu hari seorang pelajar yang pernah saya ajar memberi salam sewaktu berselisih: assalamualaikum ustaz eh encik. Waalaikumusalam jawab saya.
Di kawasan tempat tinggal berlaku satu kematian. Seorang jiran setaman mengusulkan saya mengetuai tahlil petang itu. Ustaz, tolong bawa tahlil ustaz: katanya. InsyaAllah: jawab saya.
Saya tidak pernah mengharapkan untuk dipanggil sebagai ustaz. Namun saya merasa bahawa sebahagian dari tanggungjawab seorang ustaz itu perlu ada pada saya. Dengan ilmu yang sedikit, saya perlu menyampaikan apa yang saya tahu. Di dalam kelas, saya biasa memulakan dengan sedikit tazkirah yang saya panggil KuLim-Kuliah Lima Minit. Respon yang baik tentang KuLim saya perolehi dari mereka selepas saya tidak mengajar mereka. Itu yang saya mampu lakukan.
Kini bila saya dah cuti belajar, aktiviti tazkirah pelajar agak terhad. Namun ada juga pelajar yang datang ke bilik untuk mendengar tazkirah.
Saya meyakini bahawa kerja-kerja mengajak manusia kepada yang baik dan mencegah perkara buruk bukanlah kerja ustaz-ustaz sahaja. Orang selain dari ustaz juga perlu memainkan perananan masing-masing. Sebab, ganjaran pahala itu disediakan untuk sesiapa sahaja yang sanggup memikul tugas dakwah. Maksud firman Allah: Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan dan beramal soleh dan berkata, sesungguhnya aku dari kalangan orang Islam.
Comments
Rupa En Halim sendiri ada 'iras ustaz'. Ada ustaz yang tak berupa ustaz. Ada iras ustaz lagi bagus dari rupa tak macam ustaz. First impression tu penting. En Halim ada dua kepandaian: agama dan perakaunan:)
Teringat semasa kuliah subuh yang disampaikan oleh "ustaz" semasa bengkel JPQ di Swiss Garden Lumut.
Firman Allah bermaksud: Sesungguhnya orang yang mulia di sisi Allah ialah orang bertaqwa.
Semoga kebolehan dan kelebihan yang diberi olehNya digunakan untuk mencari taqwa.
Saya pun tak ingat apa yang saya sampaikan pagi itu, maklumlah bidan terjun.
Secara peribadi En. Halim memang sesuai dipanggil Ustaz, sebab keilmuan dan budi pekerti yang mulia. Selamat berpuasa En. Halim.
Selamat berpuasa untuk Khairul dan keluarga di New Zealand.