Seminggu sudah berlalu

Hari ini genaplah seminggu kita menjalani kuliah Ramadhan. Bagaimana kuliah minggu pertama Madrasah Ramadhan? Inilah soalan cepu emas untuk diri sendiri. Macam mana terawih sekurang-kurangnya lapan rakaat? Macam mana tahajud sekurang-kurangnya dua rakaat? Dan berapa juzuk al-qur'an dibaca? Dah tutup aurat? Dah kurangkan bercakap yang lagha? Hai banyaknya soalan.

Malam pertama bawa anak solat terawih di Masjid. Selepas empat rakaat, anak menepuk bahu: ayah! terawih tinggal 4 rakaat kan, lepas tu sambung witir tiga rakaat kan. Saya tidak marah. Ini satu pendidikan. Target saya tahun ni nak suruh anak terawih sekerap dan sebanyak mungkin di samping puasa penuh. Kalau dipaksa mungkin jadi tak nak buat terus. Pada usia lapan tahun, yang penting ialah solat fardu tak tinggal.

Bila dah ada anak-anak yang sedang membesar, ramadhan dirasakan agak mencabar. Alhamdulillah, tahun ini anak-anak mudah dikejutkan untuk bersahur. Sekali dua dipanggil, bangkitlah mereka. Namun begitu, bila menjelang petang, anak-anak mulalah menyuarakan apa yang mereka nak makan untuk berbuka di samping nasi. Abang nak air sirap bandung dengan bubur lambuk. Kakak nak air tebu: pinta mereka. Sebagai ibubapa kami gembira melihat keseronokan mereka walaupun kadangkala agak berat untuk menunaikan hajat mereka.

Ya Allah! berilah kekuatan kepada kami untuk menjalani kehidupan ramadhan sebagaimana kehendakMu. Berilah kekuatan kepada kami untuk mendidik anak-anak kami melakukan perkara yang sama. Amin.

Comments

aniisma said…
Assalamualaikum

Ramadan kali ini, anak-anak saya tidak lagi ugut nak buka puasa bila menjelang petang. Kalau dulu, pukul 3 petang, tiga yang kecil tu jenuh menghampiri saya dan cakap "penat ni mama, bila nak berbuka ni, dah penat sangat ni, haus ni, lapar ni..." dan 3,4 kali buka peti sejuk.

Tapi, selera berbuka puasa mereka kali ini semakin hebat. Kalau larat, saya masak sendiri, kalau tak, beli aje.
Salam Puan Noraini,

Nampaknya kisah anak-anak kita hampir sama. Mungkin kerana mereka hampir sebaya. Satu lagi mungkin didikan dan do'a berterusan kita telah diperkenankan oleh Allah. Alhamdulillah. Semoga tertingkat kesolehan mereka dari semasa ke semasa. Amin.
Adliff said…
Salam,
Ustaz Halim,

Dua tiga hari lepas, rumah ayah saya penuh dengan gelak tawa anak-anak saudara, untuk dikejut bersahur, macam-macam gaya. Tiba waktu tengahari masing-masing terjelepuk di sofa kepenatan dan kepanasan (rumah kampung!). Waktu berbuka, masing-masing bersila dicelah-celah pak su, makcik,pak teh,paklang dan lain-lain lagi leka minum air. Makannya tidak.:
Salam Aliff,

Budak-budak memang macam tu. Dapat minum air pun cukup. Mesti seronok mereka berjumpa sepupu-sepapat dan pakcik-makcik. Bila balik kampung ramai-ramai ni mak dan ayah tak boleh nak kata apa. Nak marah pun tak boleh. Tapi kita kena ajar anak-anak kita supaya berbuka dan bersahur dengan makanan dan minuman yang berkhasiat untuk menggantikan tenaga yang hilang berpuasa hampir 14 jam.

Popular posts from this blog

Wau bulan

Empat tahiyat?

PhD - Apa selepas PhD?