Kebaikan adalah untuk diri
Kita sering merasakan apabila kita berbuat baik maka perbuatan baik tadi adalah untuk orang lain. Disebabkan itu perbuatan baik tadi dibuat agak sambil lewa atau tidak sepenuh hati. Ini termasuklah kebaikan yang kita lakukan untuk ibubapa, isteri, anak-anak, hatta dalam melaksanakan kerja-kerja hakiki untuk mencari rezeki mahupun berdakwah ataupun beribadah. Padahal Allah menyatakan dalam banyak ayat-ayatnya dalam al-Qur'an bahawa apa-apa kebaikan yang kita lakukan, manfaatnya adalah untuk diri sendiri.
Ada sebuah kisah yang ingin saya kongsi bersama yang saya dengar di radio IKIM pagi ini. Seorang tukang rumah yang telah lebih 20 tahun bekerja dengan majikannya yang juga sahabatnya ingin menamatkan kerjayanya untuk berehat. Lalu dia berjumpa dengan majikannya untuk menyatakan hasratnya. Atas rasa persahabatan majikan menerima keputusan yang dibuat oleh tukang rumah. Majikan tersebut memberi syarat supaya tukang rumah membina sebuah rumah terakhir sebelum menamatkan kariernya. Dengan berat hati tukang rumah telah membuat sebuah rumah dengan separuh hati. Bila siap, tukang rumah pun menyerahkan kunci rumah kepada majikannya. Majikannya berkata: Kunci rumah ini tak payah bagi pada saya. Awak ambillah kunci rumah ini dengan rumahnya sekali. Inilah hadiah saya untuk awak sebagai tanda terima kasih atas persahabatan kita. Tukang rumah menepuk dahi seraya berkata dalam hati: Kalulah aku tahu rumah ini untukku, sudah tentu aku akan membuatnya lebih cantik dari rumah-rumah yang pernah aku buat...
Kisah di atas hanya merupakan satu perlambangan supaya kita menginsafi bahawa sebenarnya kita tidak rugi apabila berbuat baik, sebab manfaatnya memang untuk kita, kalau tidak dapat masa di dunia ini, Allah akan berikannya di akhirat nanti.
Comments