Ingat lima sebelum lima

Balik raya kali ini tidaklah semeriah tahun-tahun sebelumnya walaupun saya dapat bertemu dan bermaaf-maafan dengan ibu, ibu mertua, adik-beradik dan ipar-duai. Apa tidaknya, abang kedua sedang dalam proses kemoterapi untuk barah di peringkat dua - badannya lemah, kurus dan rambutnya gugur. Saya sayu ketika berjabat tangan dengannya di pusara ayah. Dia dan ibulah yang membesarkan saya semenjak ayah tiada. Abang sulung dan isterinya pula sedang mengalami demam chikungunya sejak sehari sebelum raya, sukar untuk bediri mahupun berjalan. Ibu dan ibu mertua pula semakin lemah kudratnya kerana dimamah usia.
Melihat keadaan ini membuatkan saya berfikir, menerawang mengingati lagu nasyid dendangan Raihan yang juga merupakan maksud sebuah hadis: Ingat lima perkara, sebelum lima perkara, sihat sebelum sakit, muda sebelum tua, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sempit, hidup sebelum mati...terngiang-ngiang senikata lagu Raihan ini dalam kepala saya.

Apakah masih ada kelima-lima peluang tersebut bagi saya. Masih sihatkah saya? Masih mudakah saya? Masih senangkah saya? Masih lapangkah kehidupan saya? Masih hidupkan saya? Lalu teringatlah segala nikmat yang Allah kurniakan, masih sihat lagi, masih muda lagi, masih mampu memenuhi keperluan diri dan keluarga, masih lapang lagi dan yang paling penting, masih hidup lagi. Apa lagi yang perlu saya tunggu? Ya Allah, permudahkanlah urusan hambamu ini.

Comments

Syah said…
Barah...satu perkataan yang amat mengesankan saya.

Dua anggota keluarga saya mengalaminya!
Anonymous said…
Salam.

Barah adalah satu ujian yang sangat menyakitkan, tapi ujian yang sangat menakutkan adalah kekayaan dan kesenangan!!! Selalu bila sakit kita akan ingat ke mana akhirnya kita, tapi bila kita kaya dan senang, kita selalu lupa yang kita juga akan 'ke sana' akhirnya...
Salam Syah dan Hisham,

Segala yang Allah kurniakan kepada kita adalah ujian. Kehidupan dan kematian juga merupakan ujian. Dalam awal surah al-Mulk Allah jelaskan bahawa Allah menciptakan kehidupan dan kematian untuk menguji siapakah yang lebih baik amalannya.

Popular posts from this blog

Wau bulan

Empat tahiyat?

PhD - Apa selepas PhD?