Tiga hadith


Menurut Imam Nawawi dalam kitabnya yang terkenal, Hadith 40 (terjemahan Mustafa Abdul Rahman), Imam Syafie dan imam-imam yang lain berpendapat bahawa ada tiga hadith yang setiap satunya merupakan sepertiga dari Islam. Ia berdasarkan kepada fakta bahawa amalan seseorang itu terbahagi kepada tiga iaitu hati, lidah dan anggotanya.

Hadith yang pertama ialah hadith yang berkaitan dengan niat yang biasa kita dengar dan kita baca yang bermaksud: sesungguhnya setiap amalan itu sah dengan niat, dan sesungguhnya setiap amalan itu akan dikira berdasarkan kepada niatnya. Barangsiapa yang hijrahnya kepada Allah dan rasulnya, maka hijrahnya itu kepada Allah dan rasulnya..... (H.R Imam Bukhari dan Imam Muslim). Pada asasnya hadith ini menyentuh tentang amalan hati, di mana Allah dan Malaikat yang mencatat amalan akan melihat hati sebagai ukuran.

Hadith yang kedua juga diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim bermaksud: Sesunggunya yang halal itu jelas dan yang haram itu juga jelas, dan di antara kedua-duanya ada urusan-urusan yang tidak jelas (hukumnya) yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia, barangsiapa menjaga dirinya dari sebarang urusan yang tidak jelas (hukumnya) sesungguhnya dia telah menjaga agamanya dan kehormatannya.

Hadith yang ketiga pula ialah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi bermaksud: Daripada keelokan Islam ialah seseorang itu meninggalkan perkara yang tidak berguna kepadanya. Marilah kita lihat antara contoh perkara-perkara yang tidak berguna. Pertamanya ialah kata-kata yang tidak berguna, tidak membawa kebaikan bahkan kadangkala menimbulkan masalah. Keduanya mempunyai hobi yang pelik-pelik yang tidak membawa menafaat. Dan macam-macam lagi perkara yang tidak memberi faedah kepada diri mahupun masyarakat.

Marilah kita sama-sama cuba memahami dan menghayati ketiga-tiga hadith ini, mudah-mudahan kita akan dapat memelihara amalan hati, lidah dan anggota kita semua.

Rujukan:

Kitab Hadith 40, Imam Nawawi, terjemahan Mustafa Abdul Rahman.

Comments

Popular posts from this blog

Wau bulan

Empat tahiyat?

PhD - Apa selepas PhD?