Halaqah - Buah tin, zaitun, Thursina dan Mekah

Malam tadi kami sama-sama membaca surah at-tin. Adik Yam yang belum hafal pun turut sama kumat-kamit membacanya. Kemudian saya bacakan maksud ayat-ayat tersebut untuk anak-anak.

  1. Demi buah tin dan buah zaitun.
  2. Demi Bukit Sinai.
  3. Demi negeri yang aman ini (Mekah).
  4. Sesungguhnya Kami ciptakan manusia dalam sebaik-baik kejadian.
  5. Kemudian Kami tempatkannya di tempat yang paling bawah (neraka).
  6. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, bagi mereka ganjaran yang tidak akan putus.
  7. Maka apakah sebabnya kamu mendustakan agama selepas datangnya keterangan.
  8. Bukankah Allah seadil-adil hakim?

    Saya bertanya anak-anak, kenapa Allah bersumpah dengan buah tin, buah zaitun, bukit Sinai dan kota Mekah. Mereka tidak menjawab. Ini satu kisah baru bagi mereka.

    Sebenarnya Allah suka bersumpah dengan ciptaan-ciptaanNya yang istimewa. Dulu buah tin hanya tumbuh di Damsyik (tempat tinggal Nabi Nuh). Buah zaitun pula hanya tumbuh di Baitulmaqdis. Tempat itu dikaitkan dengan Nabi Isa. Bukit Sinai atau Thursina adalah tempat di mana Nabi Musa menerima wahyu. Mekah pula dikaitkan dengan Nabi Muhammad SAW dan Nabi Ibrahim. Di tempat-tempat inilah rasul-rasul ulul azmi yang lima itu berdakwah menyampaikan risalah Allah kepada umat mereka.

    Apa yang penting dalam surah ini Allah menjelaskan bahawa manusia telah dicipta sebagai makhluk yang paling sempurna - memiliki aqal dan nafsu. Sekiranya hati dan aqalnya memilih untuk derhaka kepada Allah, maka tempat tinggalnya adalah serendah-rendahnya (neraka).

    Sekiranya hati dan aqalnya mengajaknya untuk beriman dan beramal soleh maka mereka akan mendapat ganjaran pahala yang tidak akan putus-putus.

    Amalan soleh yang bagaimanakah yang boleh mendapat pahala yang tidak putus-putus? Contohnya seorang yang mengajak orang lain (dakwah) untuk kebaikan, maka pahala kebaikan rakannya itu akan diterimanya tanpa dikurangi sedikitpun. Kemudian rakannya itu pula mengajak orang lain untuk melakukan kebaikan dan seterusnya dan seterusnya.

    Contoh lain amalan yang pahalanya tidak putus-putus ialah sedekah jariah dan mengajar ilmu yang bermenafaat kepada orang lain.

    Jadi anak-anak kalau kita dah tahu tentang semua ini, apakah yang menyebabkan kita tidak percaya kepada hari pembalasan. Bukankah kita tahu Allah itu adalah hakim yang paling adil? Allah tahu kita buat baik dan Alah tahu kalau kita buat jahat. Apa yang ada dalam hati dan otak kitapun Allah tahu.

Comments

Adliff said…
Salam,

Ustaz,

Terima kasih, baru saya tahu kini kenapa buah tin dan zaitun serta bukit Thursina dijadikan penama dalam sumpah Allah SWT.

Popular posts from this blog

Wau bulan

Empat tahiyat?

PhD - Apa selepas PhD?