Mengajar anak-anak solat berjemaah dan mengaji
Perkara paling asas yang perlu ibubapa ajarkan kepada anak-anak ialah mengenal Allah. Anak-anak sekarang dalam usia yang begitu muda pun terlalu cerdik untuk bertanya kepada ibu dan ayahnya. Ayah! rupa Allah tu macam mana? Ibu! kenapa kita tak nampak Allah? Soalan-soalan yang dibiarkan tidak berjawab menyebabkan anak-anak mencari jawapan sendiri - kartun dalam tv dan komik selalu menceritakan kisah kehebatan dewa-dewa. Sedar tak sedar, anak-anak mendapat jawapan yang salah tentang Tuhannya.
Perkara kedua yang paling asas ialah mengajar anak-anak untuk solat. "Suruhlah anak-anakmu mendirikan solat ketika berumur 7 tahun dan pukullah dia sekiranya tidak mendirikan solat ketika berumur 10 tahun", maksud sebuah hadis. Anak-anak lebih memerhati ibubapanya daripada mendengar cakap ibubapanya. Sebab itu ibubapa kena praktikkan apa yang disuruh kepada anak-anaknya. Untuk mengajak anak-anak bersolat, bentanglah sejadah dan jadilah imam kepada anak-anak. Anak-anak tidak kisahpun kalau suara ayahnya tak sedap. Ibubapa yang 'cakap serupa bikin' lama-lama akan dihormati oleh anak-anak.
Perkara ketiga paling asas untuk diajarkan kepada anak-anak ialah membaca al-Qur'an. Al-Qur'an ialah mukjizat. Ia adalah sumber utama kepada ilmu. Membacanya sahaja sudah memperolehi ganjaran pahala apatahlagi kalau isikandungannya dihayati dan diamalkan dalam kehidupan. Ibubapa mungkin sibuk dan tidak sempat untuk mengajar anak-anak mengaji. Namun kita kena luangkan masa kita untuk membaca al-Qur'an bersama anak-anak sekurang-kurangnya seminggu sekali. Tentunya kita mahu tahu tentang perkembangan bacaan dan penghayatan anak-anak kita terhadap al-Qur'an.
Comments
Ustaz Halim,
Benar, besar sungguh pertanggungjawaban ibu dan bapa. Teringat kata-kata kakak, orang zaman ini jarang mahu menyimpan rotan dirumah!
Rotanlah yang menjadikan saya kenal solat dan puasa ketika usia kanak-kanak dan tahu haram halal.
Semoga anak-anak saya kelak jadi insan beriman dan beramal soleh.
Ya, semoga anak-anak kita jadi insan beriman dan beramal soleh.
Terima kasih atas entri ni.
Ia amat bermakna lagi membawa manfaat.