Tuisyen oh tuisyen

Kisah-kisah yang dinukilkan dibawah adalah sekadar pengalaman peribadi. Ia tidak bertujuan untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak.


Tuisyen 1

Dalam perjalanan ke sekolah pagi tadi Kakak bercerita. Katanya masa kelas semalam, guru bahasa Inggeris bertanya kepada semua murid tentang tuisyen. Murid A kata dia bertuisyen di sana, murid B pula kata dia bertuisyen di sini. Sampai giliran Kakak, cikgu tanya: awak tuisyen di mana Khadijah. Saya tak pergi tuisyen cikgu. Saya belajar dengan emak dan ayah saya sahaja. Cikgu diam seketika, pelik, semua orang pergi tuisyen tetapi Kakak tidak. Saya katakan padanya: Tak apalah Kakak dan Abang tak pergi tuisyen, sebab setakat sekarang ni ayah dan umi masih lagi boleh mengajar Kakak dan Abang di rumah. Lagipun, masa tuisyen cikgu akan gunakan buku kerja, mungkin sama dengan yang Kakak dan Abang ada. Yang penting Kakak dan Abang kena selalu buat latih tubi. Kalau tak dapat buat tanya ayah dan umi. Mungkin emak dan ayah kawan-kawan Kakak tak sempat nak mengajar anak-anak mereka di rumah, sebab itulah mereka dihantar ke kelas tuisyen. Alhamdulillah, walaupun hanya tuisyen di rumah Kakak dapat nombor satu dan Abang dapat nombor tiga dalam peperiksaan baru-baru ini.

Tuisyen 2

Sebelum berhenti kerja 12 tahun dulu, isteri saya mengajar Matematik di sekolah menengah. Ada satu cerita menarik tentang tuisyen yang pernah diceritakan kepada saya. Suatu hari ada seorang guru bahasa Melayu datang menemuinya untuk belajar Matematik sambil membawa buku kerja. Isteri saya bertanya: Kenapa cikgu nak belajar Matematik? Kan cikgu guru bahasa Melayu. Dengan tersenyum guru itu menjawab: Sebenarnya cikgu, malam ni saya nak mengajar tuisyen Matematik. Jadi saya kenalah bersedia dengan jawapan kepada soalan-soalan yang saya nak bagi pada murid-murid tuisyen saya malam ni. Sebenarnya saya tak berapa faham Matematik. Isteri saya hanya menggeleng-gelengkan kepala. Macam mana kalau murid-murid tuisyen tanya soalan lain daripada yang cikgu beri. Hai, macam-macam.

Pengajarannya, apabila kita nak menghantar anak-anak kita ke kelas tuisyen, kita kena selidik dahulu latarbelakang guru tuisyen tersebut. Silap-silap peristiwa seperti ini boleh berlaku.

Comments

Syah said…
Salam En Halim,

a. Cikgu Kakak tu pelik sebab
yang pergi tuisyen pun tak dapat nombor teratas dalam kelas...

b. Murid yang pergi tuisyen tu sebenarnya pilih cikgu Bahasa Melayu yang cuba ajar Matematik tu..

Popular posts from this blog

Wau bulan

Empat tahiyat?

PhD - Apa selepas PhD?