Kisah bank lagi

Pagi tadi saya pergi membayar yuran sekolah anak-anak. Disebabkan waktu masih awal, saya singgah ke Bank A untuk sedikit urusan. Seperti biasa saya mengambil nombor. Nombor yang tercetak ialah 2012 manakala nombor di skrin kaunter pula ialah 2008. Oh! hanya 3 angka saja akan sampailah giliran saya. Sampai pada angka 2010, nombor tidak bergerak-gerak agak lama. Sebabnya ada beberapa orang yang tidak bernombor dan bernombor lewat dari saya terus ke kaunter dan berurusan dengan dengan 'teller' dan pegawai yang bertugas di belakang kaunter. Saya nampak mereka rimas tapi tak punya kekuatan untuk menyatakan: sila ambil nombor dan tunggu giliran.
Saya toleh ke kiri dan ke kanan memerhatikan sekiranya ada peti cadangan atau aduan. Namun tak ada. Ini bukanlah kali pertama. Pelanggan-pelanggan yang tidak ikut peraturan ini akan terus mendapat keistimewaan seperti raja. Orang-orang yang mengikut peraturan akan terus diabaikan. Nombor bergerak semula, 2011 - kaunter 3, 2012 - kaunter 3. 'Teller' yang biasanya mengucapkan salam dengan ramah tidak memberikan salam kali ini. Mungkin tidak selesa diperhatikan oleh pelanggan-pelanggan jujur yang membesarkan mata menunggu giliran yang tak kunjung tiba. Agaknya bilakah kita akan merdeka?

Comments

Popular posts from this blog

Wau bulan

Empat tahiyat?

PhD - Apa selepas PhD?