Halaqah keluarga - iman kepada hari akhirat

Adakah saya mempunyai alasan di hadapan Allah nanti sekiranya anak-anak menuntut hak mereka untuk dididik dengan didikan iman dan Islam. Malam ni, saya mengajak isteri dan anak-anak untuk berhalaqah selepas solat maghrib berjemaah. Saya membacakan sebuah hadis qudsi yang menyentuh tentang firman Allah kepada Nabi Daud a.s.


"Allah telah mewahyukan kepada Daud a.s.: Kelak pada hari Qiamat akan ada seorang hamba menghadapKu dengan membawa amal kebajikan tertentu, maka Aku serahkan segala nikmat syurga kepadanya. Daud berkata: Ya Rabbi, siapakah hamba itu? Allah menjawab: "iaitu orang mukmin yang berusaha memenuhi keperluan saudaranya yang mukmin, sama ada dia berjaya memenuhinya atau tidak."



Saya tidak mampu untuk menghuraikan pengertian hadis ini. Namun saya mengajak anak anak untuk meyakini bahawa ada hubungan di antara kelakuan atau amalan kita di dunia dengan kehidupan di akhirat nanti. Apabila kita melakukan amalan yang baik di dunia, maka Allah akan balas kebaikan kita dengan kebaikan di akhirat. Sebagai contoh, seorang mukmin yang memenuhi keperluan saudara akan dikurniakan dengan nikmat syurga semasa hari Qiamat nanti. Tentunya bukan sahaja amalan memudahkan urusan sesama mukmin yang akan diberi balasan kebaikan oleh Allah SWT.



Bagaimana pula kalau kita melakukan amal jahat. Apa agaknya balasan Allah kepada kita sekiranya kita menyebabkan orang lain susah, mengejek, mengumpat, mengambil harta orang lain dan sebagainya. Cuba kita bayangkan kadang-kadang kita gerakkan hidung atau mulut untuk mengejek atau mempersendakan orang lain? Apakah ini tidak akan dibalas oleh Allah SWT. Kalau kita ada buat macam tu pada kawan-kawan atau adik beradik, cepat-cepatlah minta maaf. Takut tak sempat nanti, menyebabkan kita bawa amal-amal jahat tadi kepada Allah di hari Qiamat. Agaknya Allah akan tanya atau tidak: soal saya pada anak-anak. Masing-masing diam, mungkin teringatkan apa yang berlaku di sekolah.

Mudah-mudahan sedikit input iman ini memberi manfaat kepada anak-anak. Yang penting malam ni anak-anak tidak berkelahi seperti selalu. Mungkin ada kesan jangka pendek.

Comments

Popular posts from this blog

Wau bulan

Empat tahiyat?

PhD - Apa selepas PhD?